MILAN, 15 Mei – Francesco Totti tersenyum meraikan kemenangan dari tepi padang apabila AS Roma menewaskan Juventus 3-1 di Stadio Olimpico, sekali gus menangguh hajat skuad The Old Lady untuk menjulang gelaran Serie A.
Skuad kendalian Massimiliano Allgeri hanya memerlukan satu mata untuk secara matematik merangkul kejuaraan Scudetto buat kali keenam berturut-turut dengan baki dua perlawanan.
Namun, kealpaan di separuh masa kedua memakan diri Juventus yang melepaskan dua gol meskipun menuju ke rehat separuh masa dengan terikat 1-1.
Pada perlawanan itu, pemain perancang Roma, Daniele De Rossi bangkit membatalkan jaringan pembukaan minit ke-21 oleh Mario Lemina buat pelawat.
Namun, Juventus dikejutkan dengan dua jaringan di separuh masa kedua oleh Stephan El Shaarawy dan Radja Nainggolan.

Kemenangan ke-26 pada kempen ini menyaksikan anak buah Luciano Spalletti kembali melonjak ke tangga kedua Serie A, hanya satu mata di depan Napoli.
Terdahulu, Napoli juga turut mencatat kemenangan bergaya 5-0 ke atas Torino hasil bantuan dua jaringan bekas pemain Real Madrid, Jose Callejon.
Juventus kini perlu menunggu sehingga pertemuan menentang Crotone minggu depan untuk mengesahkan kejuaraan.
“Selepas kemenangan Napoli, kedudukan dalam liga mula mengusarkan kami,” kata kapten Roma, De Rossi.
“Juve memulakan perlawanan dengan sangat baik dan kami ketinggalan dengan satu gol. Mereka hanya memerlukan seri, tetapi kami memberikan respons dengan baik.
“Ia adalah perlawanan dan malam yang hebat.”
Juve mampu memastikan gelaran dengan kemenangan di gelanggang sendiri menentang Crotone hujung minggu ini, tetapi kekakalahan kelima dalam kempen ini mengakhiri harapan Massimiliano Allegri untuk memastikan gelaran sebelum mereka berdepan dengan Lazio dalam final Piala Itali. – AFP