Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serik dengan lelaki?

    ULASAN BUKU OLEH RAZ AS

     

    PENULIS Jill Shalvis yang terkenal dengan karya novelnya berjudul Lost and Found Sisters, kini kembali bersama sebuah novel yang tidak kurang hebatnya, mengenai hati perasaan, kehilangan, pengkhianatan dan persahabatan, Rainy Day Friends.

    Enam bulan setelah kematian suaminya, sukar bagi membayangkan ada sesuatu yang dapat meremukkan lagi hati Lanie Jacobs. Sehinggalah Lanie mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya wanita yang meratapi pemergian lelaki itu.

    Ternyata arwah suaminya itu selama ini adalah seorang kaki perempuan dan setiap perempuan yang ditinggalkannya percaya bahawa mereka adalah isterinya yang sah.

    Terkejut dengan kecurangan arwah suaminya, hati Lanie bertambah remuk dan dihantui dengan banyak persoalan. Bagaimanakah dia boleh tersalah anggap mengenai seorang lelaki yang selama ini difikirnya lebih dikenalinya daripada sesiapa? Dapatkah dia mempercayai lelaki lain setelah kejadian itu? Dapatkah dia mempercayai dirinya sendiri?

    Novel Rainy Day Friends karya Jill Shalvis ini adalah mengenai pelbagai perasaan yang dihadapi seperti kehilangan, pengkhianatan dan persahabatan. Anda boleh dapatkannya di pasaran.

    Kerana sangat menginginkan kehidupan baharu dan melupakan luka lama, Lanie telah membuat keputusan untuk bekerja di sebuah perusahaan milik keluarga Capriotti.

    Pada mulanya, Lanie berasa janggal berada di kalangan keluarga Capriottis yang ceria itu. Kerana tidak mempunyai ahli keluarganya sendiri, Lanie terkejut dengan kemesraan keluarga tersebut yang menganggapnya sebahagian daripada mereka. Lebih-lebih lagi Mark Capriotti, seorang jejaka tampan bekas tentera udara yang kini menjawat jawatan sebagai timbalan syerif, berjaya mencairkan hatinya yang sejuk membeku dan hancur.

    Kini semuanya berjalan dengan lancar bagi diri Lanie, namun kehadiran River Brown, telah mengubah segala-galanya. Gadis berusia 21 tahun itu mempunyai wajah dan perwatakan yang comel, sehinggalah rahsia hitamnya terbongkar, rahsia yang mampu menghancurkan hidup baharu Lanie yang baru saja dibinanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda