Oleh Ak Zaki Kasharan
Tausyeh merupakan salah satu keindahan seni yang penuh dengan puji-pujian, munajat dan cerita yang menggambarkan kebesaran, keagungan dan kemuliaan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW menerusi alunan melodi yang menarik.
Sejak berdekad-dekad lamanya segala acara mahupun keraian yang diadakan di negara ini akan menggunakan tausyeh bagi pengisian mahupun menambah kemeriahan suasana sesebuah majlis seperti dalam majlis perkahwinan, doa selamat, pernikahan dan banyak lagi.
Pada kelazimannya tausyeh akan dibawakan dan didendangkan menggunakan pelbagai alat instrumental tradisional seperti darbuk yang mengiringi alunan puisi, pujian dan munajat yang dikumandangkan secara berkumpulan.
Disebabkan banyaknya permintaan terhadap perkhidmatan tausyeh di negara ini maka banyaklah juga ditubuhkan kumpulan tausyeh dan dikir bagi menampung permintaan-permintaan para pelanggan dan jemputan di seluruh negara termasuklah Kumpulan Dikir & Tausyeh Nurul Huda.
Kumpulan Dikir dan Tausyeh Nurul Huda yang ditubuhkan sejak tahun 2008 terdiri daripada 34 orang ahli merangkumi 14 orang lelaki dan 20 orang perempuan dari segenap lapisan usia daripada usia sembilan tahun hinggalah 68 tahun.
Ia diasaskan oleh Hajah Aishah binti Haji Hashim yang turut giat mempromosikan mengenai aktiviti kumpulan tersebut bersama ketua kumpulan, Dora di platform media sosial mereka.




Kumpulan itu pada mulanya adalah kumpulan muslimah di Masjid Kampung Rimba, kemudian dijadikan sebagai sebuah kumpulan keluarga oleh ahli-ahlinya.
Ia seterusnya dibukakan kepada ahli-ahli Muslimah Masjid Kampung Rimba serta rakan-rakan kepada kaum keluarga ahli termasuklah cucu dan rakan-rakan daripada skim tilawah Al-Quran dan sekolah arab dan tahfiz di negara ini.
Aktiviti kumpulan banyak berkisar dalam sesi latihan bersama dengan mendengarkan tausyeh yang didendangkan di radio-radio mahupun yang diperoleh dari televisyen untuk digunakan sebagai panduan kepada tausyeh yang akan dibawakan oleh mereka semasa dipanggil bagi menghadiri sesebuah acara atau majlis.
Memandangkan ahli-ahli kumpulan kebanyakannya mempunyai komitmen terhadap keluarga, kerjaya dan persekolahan masing-masing, para ahli kumpulan tersebut akan dimaklumkan lebih awal mengenai tempahan undangan yang hendak menggunakan perkhidmatan mereka bagi memudahkan urusan latihan dan sebagainya.
Walau bagaimanapun pasukan tersebut juga giat menjalankan latihan sekurang-kurangnya sekali sebulan yang lazimnya diadakan pada hari Jumaat ataupun Ahad dari jam 2 petang hingga 5 petang.
Dalam usaha mereka untuk meneruskan alunan puji-pujian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, Hajah Aisyah berharap, tausyeh di negara ini terus mendapat tempat di hati orang ramai dan dalam masa yang sama menghidupkan lagi sinar kesenian Islam melaluinya.




























