Seroja bawa ‘kemusnahan’ di bandar Australia

SYDNEY, 12 APRIL – Dua bandar kecil di Australia Barat mengalami ‘kemusnahan besar-besaran’ apabila Taufan Seroja membadai sebahagian negara itu yang jarang mengalami ribut tropikal, kata perkhidmatan kecemasan hari ini.

Ribut itu yang telah memusnahkan bahagian Indonesia dan Timor Leste minggu lalu, membawa hujan dan angin kencang kira-kira 170kmsj ke kawasan yang para pegawai katakan tidak pernah menyaksikan taufan tropika dalam masa ‘berdekad-dekad’.

Pihak berkuasa menganggarkan 70 peratus struktur di Kalbarri – rumah kepada sekitar 1,500 orang – musnah dalam taufan yang bergerak pantas.

Imej-imej media tempatan menunjukkan bumbung rumah mereka diterbangkan, dengan puing-puing bertebaran di seluruh jalan.

Di Northampton, sebuah bandar yang mempunyai 1,000 penduduk, sekitar satu jam perjalanan, juga berlaku ‘kemusnahan besar’, kata jabatan perkhidmatan kecemasan Australia Barat.

“Kru masih lagi menilai kerosakan itu dan pada masa ini tidak selamat untuk pergi keluar disebabkan bahayanya,” kata jurucakap wanita kepada AFP.

Tidak ada laporan mengenai kecederaan atau korban jiwa semalam, tambahnya.

Perdana Menteri Australia Barat, Mark McGowan berkata ia masih ‘terlalu awal untuk memberikan gambaran keseluruhan’ namun kemusnahan itu ‘menyedihkan’ bagi komuniti yang terjejas.

“Penilaian menunjukkan Kalbarri dan Northampton paling teruk terjejas namun banyak lagi kawasan yang mengalami kemusnahan ketara,” ujarnya kepada para wartawan di Perth.

Taufan Seroja membuat pendaratan sebagai ribut kategori 3 lewat kelmarin, sebelum meredah ke barat daya dan bertukar menjadi ribut tropika sederhana pada pagi ini.

Lebih 30,000 buah rumah di rantau Mid West, Australia Barat tanpa bekalan elektrik dan jeti panjang bersejarah di bandar Carnarvon juga musnah teruk. – AFP