Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Seronok bekerja bersama rakan ‘sekepala’

    JOHOR BAHRU – Gembira dengan persekitaran tempat kerja selain rakan-rakan yang ‘sekepala, membuatkan pasangan suami isteri kurang upaya, Jailani Mohammad dan Suhaila Abd Rahman, enggan meninggalkan Pertubuhan Pemulihan Kawasan Negeri Johor (JARO) sekalipun telah lama tamat latihan kemahiran.

    Jailani, 58, dan Suhaila, 57, yang masing-masing memulakan latihan kemahiran di JARO pada 1983 dan 1989, berkata mereka gembira dengan kehidupan sekarang walaupun hanya seadanya.

    “Saya selesa di sini, malah tidak pernah terfikir untuk mencari pekerjaan lain. Di sini saya sentiasa berpeluang meningkatkan kemahiran sedia ada selain berkongsi pengetahuan dengan pelatih baharu,” kata Jailani yang mahir menganyam rotan.

    “Kami juga bertemu jodoh di sini pada 2004,” celah Suhaila yang bertugas di bahagian jualan.

    Pasangan suami isteri itu antara 45 orang kurang upaya (OKU) yang pada masa ini bertugas atau menjalani latihan kemahiran di premis badan bukan kerajaan tersebut yang terletak di Jalan Sungai Chat, Sri Gelam, di sini.

    Hasil seni kraf tangan anyaman bakul. – Bernama

    Jailani Mohammad, 58, giat menghasilkan kraf tangan anyaman bakul rotan. – Bernama
    Pelatih OKU giat menghasilkan puluhan hasil seni kraf tangan anyaman bakul dan rumah patung rotan. – Bernama
    Koleksi yang dihasilkan oleh 45 pelatih OKU. – Bernama

    Bersyukur diperkenalkan kepada JARO

    Bercerita lanjut kepada Bernama, Jailani yang mengalami masalah ‘lemah kaki kanan’ selepas terjatuh ke dalam longkang semasa berusia tiga tahun, berkata dia tahu dengan kemahiran yang dimilikinya dia boleh memulakan perniagaan sendiri.

    “(Akan tetapi) bagi saya, di sini berbaloi, tempat pun selesa. Kalau tempat ini tidak bagus, mungkin saya dah tiada di sini… dan (kerana itu) saya tidak pernah cari kerja lain,” katanya, menambah segala kelengkapan yang diperlukannya untuk menganyam ada di JARO.

    Menurut Jailani, dia diperkenalkan kepada JARO oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira 39 tahun lepas.

    “Sebelum itu saya tidak tahu pun tentang JARO. Saya dibawa ke sini dan diterima. Hingga kini saya masih di sini,” tambahnya.

    Senada dengan suaminya, Suhaila berkata dia tidak pernah terfikir untuk mengubah haluan hidup selepas tiba di JARO 33 tahun lalu.

    “Memang tidak mewah, tapi yang penting hati rasa bahagia,” kata Suhaila yang mengalami demam panas dan dijangkiti polio semasa kecil, menyebabkan tangan kanannya mengecut.

    Latih hingga mampu berdikari

    Sementara itu, Pengurus Besar JARO, Joseph Roy Arputham berkata kesemua pelatih yang ada di situ berdaftar dengan JKM, dan mereka terdiri daripada OKU lembam, OKU penglihatan, OKU pendengaran dan individu cacat anggota badan seperti kaki dan tangan.

    “Pusat ini yang didaftarkan sebagai pusat pemulihan dan latihan bagi OKU pada 1970, membuka pintu kepada semua OKU daripada pelbagai kumpulan usia yang mahu mempelajari kemahiran, bagi membolehkan mereka berdikari dan menceburi dunia pekerjaan.

    “Pelatih boleh memilih mengikuti latihan di tiga bengkel yang disediakan, iaitu anyaman, jahitan dan penjilidan buku, berdasarkan minat dan keupayaan mereka,” jelasnya.

    Katanya pelbagai produk kraf termasuk perabot yang kebanyakannya berasaskan rotan, dihasilkan oleh pelatih sebelum dijual oleh JARO pada harga serendah RM3 (beg kertas) hingga RM1,200 (set perabot dua kerusi rotan dan satu meja kopi kecil).

    Mengenai pengambilan pelatih, Joseph berkata OKU yang memohon akan menjalani sesi temu duga dan jika berjaya, mereka akan dilatih selama tiga bulan sebelum prestasi dinilai.

    Sekiranya didapati belum mahir, OKU berkenaan tetap diberikan peluang untuk terus menjalani latihan di pusat tersebut.

    “OKU yang ingin jadi pelatih di JARO perlu datang ke sini dan isi borang. Proses pengambilan ini kita buat seperti pengambilan pekerja oleh syarikat biasa, iaitu perlu menjalani temu duga dan sebagainya, bertujuan mendedahkan OKU tersebut kepada dunia pekerjaan sebenar,” katanya, menambah antara kriteria pemilihan ialah OKU itu mampu menguruskan diri sendiri.

    Menurutnya lagi, rutin harian di JARO juga seperti tempat kerja biasa, antar-nya mengetik kad perakam waktu selain hanya bekerja lima hari seminggu.

    Elaun dan insentif

    Bercerita lanjut, Joseph berkata setiap pelatih di JARO bukan sahaja menerima elaun pekerja cacat (EPC) sebanyak RM450 sebulan daripada JKM, tetapi juga diberikan insentif bulanan antara RM600 hingga RM1,200, bergantung pada tahap kemahiran dan tempoh bekerja pelatih.

    Katanya walaupun jumlah keseluruhan imbuhan yang diterima oleh pelatih tidak ‘sebesar mana’, ada pelatih mampu menyimpan dan membuat pelaburan, malah membesarkan anak-anak.

    “Walaupun JARO bukanlah sebuah tempat yang boleh bagi duit yang banyak, sekurang-kurangnya ada juga ‘sesuatu’ (imbuhan) untuk mereka. Mereka mendapat kemahiran dan pendapatan pada masa sama,” ujarnya.

    Mengenai kehidupan pelatih semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, Joseph berkata walaupun JARO tidak dapat beroperasi, kebajikan pelatih tetap terjaga.

    “Pendapatan mereka (pelatih) tidak terjejas kerana kita tetap bagi insentif selain mereka turut menerima bantuan bakul makanan daripada beberapa syarikat swasta dan lain-lain.

    “Antara penyumbang tegar bakul makanan kita ialah Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah yang menyumbang bakul makanan dua bulan sekali hingga sekarang,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...