Seronok terikat pulih manuskrip

DAMSYIK – Di sebuah perpustakaan patriarki Ortodoks Yunani di ibu negara Syria, Damsyik, Rajaa Rajha, seorang cendekiawan wanita negara itu, telah bekerja tanpa jemu dan bersemangat hari demi hari untuk memulihkan manuskrip kuno.

“Saya seronok dengan kerja saya. Saya rasa seperti manuskrip ini telah merentasi masa untuk datang kepada saya, menanti saya untuk memberi manuskrip itu masa lagi untuk mengembara,” kata Rajha kepada Xinhua.

Rajha tidak pernah belajar tentang pemulihan manuskrip di universiti, di sana dia mengambil jurusan fizik dan kimia. Walau bagaimanapun, dia dengan bijak menggunakan apa yang dipelajari bagi pemulihan manuskrip kuno selepas mengikuti kursus latihan jangka pendek di Dubai pada tahun 2004.

Setiap hari, Rajha menghabiskan masa yang lama di meja memeriksa dan menanda manuskrip, dan menulis konsepnya tentang proses pemulihan. Dia perlu membersihkan manuskrip dengan berhati-hati dan memberikan setiap muka surat nombor supaya ia tidak akan bercampur aduk dalam proses.

Bahagian yang paling sukar ialah memulihkan halaman yang rosak yang berlubang atau tepi halaman yang koyak, katanya.

Rajaa Rajha memulihkan manuskrip kuno di perpustakaan patriarki Ortodoks Yunani di Damsyik, Syria. – Xinhua

Langkah lain termasuk membaca skrip dan meninta huruf yang hilang. Bagi Rajha, pekerjaan itu lebih sukar kerana rakan-rakannya telah mening-galkan negara yang dilanda perang itu seorang demi seorang dalam dekad yang lalu dan dia kini perlu menyelesaikan semuanya sendiri.

Lama kelamaan, wanita Syria itu berasa lebih terikat untuk memulihkan manuskrip. Dia memberitahu Xinhua dia membina hubungan peribadi dengan setiap manuskrip yang dipulihkannya.

“Manuskrip telah menarik saya dengan cara yang tidak pernah saya alami sebelum ini,” kata Rajha.

Rajha menyelami setiap manuskrip untuk merasakan bahan-bahan yang dihasilkan dan tangan-tangan yang menulisnya pada masa lalu, seolah-olah dia berhubung dengan nenek moyang melalui manuskrip.

“Saya benar-benar menyelami manuskrip, perkataan dan maknanya serta ungkapan yang pernah digunakan sebelum ini. Makna sebegitu masuk ke dalam diri saya dan membuatkan saya jatuh cinta dengan manuskrip itu secara keseluruhan,” katanya.

Buat masa ini, Rajha berpuas hati dengan kerja pemulihannya, berharap dapat menumpukan dirinya pada kerja itu selama mungkin. Untuk masa hadapan, dia berharap dapat mengajar lebih ramai orang tentang kemahiran pemulihan untuk meneruskan misi ini untuk jangka yang panjang. – Xinhua