Serpihan meteor lintasi bumi

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Mohammad Nazhif bin Haji Abdul Khalid

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) memaklumkan telah menerima beberapa laporan daripada warganet di negara ini yang telah melihat cahaya yang sangat terang (gambar  bawah) gugur dari langit dipercayai meteor semalam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, PABD menyatakan bahawa pada saat ingin mengambil gambar planet Venus di langit senja, Awang Mohammad Nazhif bin Haji Abdul Khalid yang berusia 19 tahun, telah terakam gambar meteor meluncur dari langit menggunakan kamera telefon bimbitnya di kawasan rumahnya di Kampung Lambak.

Awang Mohammad Nazhif menjelaskan, “Pada mulanya saya percaya ia hanyalah bunga api, namun merasa hairan ia tiada mengeluarkan bunyi.”

Bebola api yang berwarna hijau tersebut dirakam tepat pada pukul 7:27 malam dan telah dimuat naik di Instagram beliau dan telah mendapat perhatian daripada pihak PABD.

Kenyataan menyatakan bahawa bebola api itu juga telah disaksikan dari beberapa daerah di negara ini dan Bon Wei Chin, 25 tahun, dari Seria telah menyaksikan bebola api tersebut.

Menurut Wei Chin, salah seorang saksi kejadian pada malam tersebut, “Saya telah melihat meteor melintasi Pekan Seria sekitar jam 7 malam, dan meluncur berdekatan sebuah bintang yang sangat terang.”

Manakala itu, seorang lagi saksi, Azimah Alipah juga melaporkan bahawa beliau telah melihat meteor tersebut dari Daerah Tutong.

“Pada petang tadi, saya telah melihat ‘shooting star’ yang sangat terang dari Penanjong Kem selama 5 saat lalu jatuh ke arah laut,” kata Azimah.

Menurut seorang lagi saksi, Awang Mohd Yusbi Ayub bin Yusof, pijaran api tersebut juga dilihat oleh beliau dari kawasan Taman Permainan Jerudong Park pada sekitar waktu Isyak.

Meteor adalah serpihan di angkasa yang memasuki ke ruang atmosfera bumi, lazimnya terbakar disebabkan gesekan antara permukaan meteor dengan udara pada kelajuan tinggi. Meteor yang bersaiz besar mampu untuk menghasilkan cahaya api yang sangat terang.