Serpihan tulang manusia ditemui di Gua Kandu

KAMPAR, 23 April – Polis mengesahkan serpihan beberapa tulang termasuk tulang paha yang ditemukan oleh orang awam merupakan tulang manusia pada Sabtu lepas di kawasan Gua Kandu, Gopeng iaitu kira-kira 16 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata pengesahan itu dibuat selepas laporan bedah siasat ke atas serpihan tulang itu selesai dilakukan oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam.

“Hasil bedah siasat yang diperoleh melalui pengesahan awal mendapati tulang yang ditemui itu adalah tulang manusia dan menerusi pengesahan awal pihak forensik tidak menafikan keadaan serpihan tulang yang ditemui itu adalah tulang lama.

“Serpihan tulang telah dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor bagi tujuan asid deoksiribonukleik (DNA) dan keputusan mengenai itu boleh diketahui dalam tempoh sehingga dua bulan atau lebih awal daripada itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dilakukan berikutan kawasan penemuan serpihan tulang yang ditemui itu dalam kawasan pencarian berkaitan kes kehilangan seorang peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan yang hilang sejak bulan lepas.

Dalam pada itu, Hasron Nazri berkata spesimen darah seorang daripada abang Mohammad Ashraf atau dikenali sebagai Acap dilakukan semalam di Hospital Kampar dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya bagi tujuan perbandingan DNA dengan serpihan tulang tersebut. – Bernama