Sertai cabaran kejohanan bola keranjang

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim menyertai kejohanan bola keranjang Omni 3×3 Challenge mewakili pasukan Under the Shelf dalam Kategori Bawah-13 tahun di Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) hari ini.

Pada perlawanan akhir Kategori Lelaki Bawah-13 tahun, TSK Yeezus mengalahkan Mamba 12-7 untuk memenangi tempat pertama.

Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Juice.

Dalam Kategori Lelaki Bawah-16 tahun, Hana Spoiled Kids menang menentang Yellow Mamba 14-10 di perlawanan akhir untuk merangkul kejuaraan. Manakala pasukan Skyhawks meraih tempat ketiga.

Kategori Perempuan Bawah-18 tahun menyaksikan pasukan Shehoops menewaskan ISB Forbisia 11-1 pada perlawanan akhir, manakala tempat ketiga di menangi oleh Shehoops 2.0.

Kemuncak kejohanan itu adalah perlawanan akhir Kategori Lelaki Bawah-18 tahun di mana pasukan TSK menang dengan mudah menentang Hotshots dengan keputusan 16-2 untuk memenangi kejohanan tersebut.

Manakala pasukan ISB meraih tempat ketiga.

Di samping itu, John Earl Medina telah memenangi Anugerah MVP untuk Kategori Lelaki Bawah-13 tahun, manakala bagi Kategori Bawah-16 tahun di anugerahkan kepada Nathan Chiew, Anugerah MVP Bawah-18 tahun pula dimenangi oleh Maverick Pineda dan Kate Saap memenangi Kategori Perempuan Bawah-18 tahun.

Pengasas Omni Sports International, Ken Han berkata ia adalah satu keistimewaan untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan Omni 3×3 Challenge yang telah disokong oleh FIBA ​​buat pertama kali.

“Kami mempunyai 47 pasukan yang menyertai kejohanan hari ini. Lebih 200 kanak-kanak mengambil bahagian dalam Kategori Bawah-13 tahun, bawah-16 tahun dan bawah-18 tahun lelaki dan perempuan,” katanya. Beliau juga menyampaikan penghargaannya kepada ISB, Syarikat Aewon dan Aquarius untuk menjayakan kejohanan ini.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim ketika beraksi dalam kejohanan bola keranjang Omni 3×3 Challenge dalam Kategori Lelaki Bawah-13 tahun di Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) kelmarin. – Rahwani Zahari
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim semasa menyertai kejohanan bola keranjang Omni 3×3 Challenge. – Rahwani Zahari