Sertai kem bola jaring

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah menyertai Program Kem Bola Jaring dianjurkan Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam (BNA) sempena cuti persekolahan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah hari ini.

Kem Bola Jaring yang diadakan selama tiga hari itu merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan perkembangan sukan bola jaring di negara ini, yang bertujuan untuk melahirkan pemain yang berkemahiran, berpengetahuan dan berkebolehan di kalangan kanak-kanak dan pemain baharu, sekali gus memahami dan memupuk minat terhadap sukan tersebut.

Persatuan tersebut dalam kertas kerja mereka menyatakan, sukan merupakan asas kepada perkembangan dan kemahiran.

Dengan program ini, para peserta diberikan peluang untuk belajar kemahiran baharu melalui jurulatih-jurulatih dan juga pemain-pemain senior yang berpengalaman. Program ini juga diharapkan dapat memberikan persekitaran yang seronok dengan aktiviti-aktiviti fizikal dan kemahiran serta memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berinteraksi dan bersosial dengan kawan-kawan baharu daripada latar belakang yang berbeza, bangsa serta kebolehan yang berlainan.

Melalui sukan, kanak-kanak boleh belajar kepentingan kejujuran dalam permainan, kerja berpasukan dan sema-ngat kesukanan di samping menghormati pendapat orang lain dan mematuhi peraturan sukan. Kem bola jaring ini juga diadakan bagi mencari pemain-pemain yang berpotensi untuk dibimbing dan mengikuti sesi latihan yang berterusan.

Anakanda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah ketika menyertai Program Kem Bola Jaring sempena cuti persekolahan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin. – Gambar oleh Shogun Media
YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah semasa menyertai aktiviti yang dijalankan pada kem bola jaring berkenaan. – Gambar oleh Shogun Media