Sertai perhimpunan, lapan belia diarah bayar denda

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Mahkamah Majistret mengarahkan lapan orang belia membayar denda atau menjalani hukuman penjara, selepas kesemuanya mengaku bersalah menyertai perhimpunan ramai semasa gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini.

Mereka termasuklah Nurhaleza binti Dullamit, 21; Noor Syakiratul Hidayah binti Ismail, 24; warga asing, Rashidah Mathew Ragie, 24; Dayangku Fatin Hadinah binti Pengiran Haji Omarali, 21; Muhammad Azmi bin Haji Mohd Safri, 29; Muhammad Asrimin bin Awang Haji Alim, 32 dan Mohammad Sofian bin Sahdan, 34, diperintahkan untuk menjelaskan denda $6,000 setiap seorang atau menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal melunaskannya.

Sementara itu, Mohd Amir Muqri bin Awang Haji Alim, 26, diperintahkan untuk menyelesaikan denda $7,000 atau berdepan penjara dua bulan.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu menyifatkan tindakan defendan di tengah-tengah penularan COVID-19 di negara ini sebagai tidak menghormati dan tidak bertanggung-
jawab terhadap keseluruhan penduduk di negara ini, memberikan ancaman sebenar risiko COVID-19 kepada orang lain dan tidak boleh dibiarkan.

Sementara itu, Mohd Amir Muqri didapati oleh mahkamah turut memiliki sabitan kesalahan sebelumnya di bawah Kanun Jenayah yang serupa pada 2020 dan didapati tidak menginsafi hukuman penjara dua bulan yang dikenakan ke atasnya.

Mahkamah bagaimanapun memberi pertimbangan kepada fakta seperti defendan-defendan lainnya, bahawa kesemua mereka melakukan kesalahan buat pertama kali dan mengaku bersalah dengan segera.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Ahmad memaklumkan mahkamah bahawa pihak polis telah menerima maklumat sehingga membawa kepada serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah di Kampung Kiarong pada pukul 1:55 pagi, 23 September lalu.

Defendan-defendan didapati terdiri daripada penghuni rumah yang berasingan telah berkumpul di ruangan tertutup, dengan tidak memakai pelitup muka, bermain muzik dengan nyaring dan meminum minuman keras.

Majistret Mohammad Marzuqi turut mendapati perbuatan para defendan, melanggar arahan Akta Pe-nyakit Berjangkit yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pada 9 Ogos yang melarang sebarang perhimpunan ramai, tambahan lagi defendan keluar rumah untuk menyertai perhimpunan tanpa sebab yang penting.