Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    SES, Presserv group meterai perjanjian

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 6 DIS – Dalam usaha untuk membantu mengurangkan kos dan pelepasan pencemaran untuk jangka panjang, Sepakat Energy Services (SES) telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Presserv Group, pakar pemeliharaan terkemuka yang berpangkalan di Norway, yang diadakan di pejabat utama SES di Rasau Business Park.

    Wakil daripada Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) yang diketuai oleh Pengurus Nilai Dalam Negara, Hajah Rosita binti Haji Hassan berkesempatan untuk menyaksikan majlis penandatanganan perjanjian berkenaan yang diadakan hari ini.

    Hadir untuk mengalu-alukan para jemputan ialah Pengarah Urusan SES, Dzairenny Muslim yang diiringi oleh Pengarah Eksekutif SES, Liana Radzak.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Dzairenny menyatakan bagaimana SES memiliki sejarah dalam perkhidmatan integriti aset yang merupakan penyedia perkhidmatan khusus.

    Beliau menambah bahawa syarikat itu juga menyasarkan untuk menjalankan
    operasi yang mampan dan menjangkakan perkongsian dengan Presserv Group akan memberikan pertumbuhan pesat bagi tenaga kerja tempatan yang membentuk majoriti syarikat.

    Wakil dari SES, Presserv Group dan BSP bergambar ramai semasa majlis berkenaan.

    Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Presserv Group, Niklas Hermansson, turut berkongsi bagaimana kedua-dua syarikat berkenaan berkongsi matlamat dan visi yang sama bagi menambah nilai kepada peralatan yang sedia ada untuk menawarkan pemeliharaan dan pengkhususan pengurusan strategik dalam pelbagai pasaran dan industri yang selaras dengan visi mereka.

    Turut hadir semasa majlis menandatangani perjanjian berkenaan ialah Pengurus Negara Presserv Norway, Trond Medhus.

    Penandatanganan tersebut bertujuan bagi memastikan integriti aset untuk kemampanan, tanggungjawab dan manfaat untuk masyarakat setempat.

    Di samping itu, pemeteraian itu juga menyediakan pelbagai peluang yang luas untuk menubuhkan entiti usaha sama sebagai pembekal serantau bagi pemeliharaan merentas kumpulan dan rakan kongsi perniagaan.

    Dalam menandatangani perjanjian berkenaan, Dzairenny berharap ia akan membawa kepada kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan, bukan sahaja dalam industri minyak dan gas tetapi juga merentasi industri lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...