Sunday, December 10, 2023
29.1 C
Brunei

    -

    SESB rugi RM5 juta akibat kegiatan usik meter

    TAWAU, 15 NOV – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merekodkan kerugian berjumlah RM5 juta sejak Januari hingga Oktober lepas akibat kegiatan mengusik pepasangan meter membabitkan premis komersial dan pengguna domestik di Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.

    Ketua Pegawai Transformasi (CTO) SESB, Ahmad Nassaruddin Kamaruzaman berkata kerugian itu membabitkan 1,191 kes melibatkan pengguna domestik, 148 kes pengguna komersial dan satu kes pengguna industri.

    “Pihak Suruhanjaya Tenaga juga dalam proses mengheret 29 pengguna yang disyaki terlibat dengan kes pengusikan pepasangan meter SESB ke mahkamah.

    “Kesalahan mengusik pepasangan meter SESB boleh disabit di bawah Seksyen 37 dan Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Curi Elektrik SESB di sini, hari ini.

    Mengenai operasi hari ini, beliau berkata pihaknya telah mengesan enam premis komersial di Jalan Tanjung Batu, di sini melakukan kegiatan mengusik pepasangan meter hampir setahun lepas menyebabkan SESB menanggung kerugian RM120,000.

    “Modus operandi enam premis ini ialah melakukan pintasan wayar dengan usikan dibuat sebelum pemasangan meter untuk mengurangkan kadar penggunaan menjadi lebih jimat dan ada juga melakukan pintasan di bahagian belakang meter.

    “Tindakan sebegini adalah dilarang dan selepas pembuktian kes, kita (SESB) akan menuntut pesalah untuk ganti rugi berdasarkan jumlah sebenar dan berapa lama tempoh kegiatan itu dan jika gagal melakukan ganti rugi, kita boleh saman dan bawa kes ke mahkamah,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad Nassaruddin berkata SESB telah meluluskan dasar pemberian imbuhan kepada pemberi maklumat berkaitan kes usikan pepasangan meter dan sambungan elektrik tidak sah selain menguatkuasakan penggunaan kad kuasa SESB. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    India larang eksport bawang

    NEW DELHI, 8 DIS – India melarang eksport bawang sehingga Mac tahun depan bagi meningkatkan bekalan domestik selain membendung inflasi pengguna. Kerajaan memutuskan untuk memindahkan...