Saturday, September 23, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    Sesi advokasi bina persaingan sihat

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD) melalui Sekretariat Eksekutif telah mengadakan sesi advokasi mengenai Akta Persaingan, Penggal 253 untuk sebuah syarikat pengeluar simen, baru-baru ini.

    Semasa pembukaan sesi tersebut, Pemangku Ketua Sekretariat Eksekutif CCBD mengiktiraf usaha syarikat dalam mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan utama bagi mewujudkan budaya pematuhan persaingan.

    Sekretariat Eksekutif CCBD memulakan taklimat dengan menggariskan kepentingan Akta Persaingan dalam mempromosi dan melindungi persaingan dalam pasaran untuk meningkatkan kecekapan ekonomi dan menjaga kebajikan pengguna.

    Akta Persaingan bertujuan untuk membina budaya persaingan yang sihat dalam kalangan peniaga, yang akan meningkatkan pertumbuhan sektor swasta dan seterusnya menyumbang dalam mencapai wawasan 2035.

    Tekanan persaingan lazimnya akan memberi insentif kepada peniaga untuk menyusun strategi pengeluaran yang lebih kos efisien, yang akan menawarkan harga lebih menarik kepada pengguna.

    Pegawai dari CCBD semasa mengadakan sesi advokasi untuk sebuah syarikat pengeluar simen, baru-baru ini. – Gambar serahan CCBD

    Selain daripada itu, persaingan juga akan merangsang inovasi dalam kalangan peniaga, yang akan memperbanyakkan pilihan dan mempertingkatkan kualiti barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.

    Proses persaingan yang adil dan sihat bukan sahaja akan menjaga kebajikan pengguna, para peniaga termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta kerajaan, ia juga mewujudkan peluang kepada peniaga tempatan untuk meluaskan perniagaan ke pasaran antarabangsa.

    Sesi telah membincangkan tentang larangan utama kedua akta tersebut iaitu penyalahgunaan kedudukan dominan. Larangan tersebut merujuk kepada perniagaan yang menyalahgunakan kedudukan dominan yang dimilikinya di dalam pasaran tertentu.

    Turut ditekankan bahawa perniagaan dominan boleh membantu dalam mencapai pertumbuhan ekonomi, walau bagaimanapun perniagaan tersebut perlu bertindak secara bertanggungjawab dalam mengelak daripada melakukan sebarang perlakuan penindasan termasuk mengenakan harga pemangsa yang merugikan pesaingnya, keengganan untuk membekalkan tanpa sebarang justifikasi yang bersifat objektif, dan juga terlibat dalam urusan eksklusif dengan niat untuk memacu pesaing keluar dari pasaran.

    Sesi advokasi telah diakhiri dengan dialog dan kuiz interaktif.

    CCBD mengalu-alukan sebarang pertanyaan, permintaan untuk dialog atau taklimat mengenai Akta Persaingan, yang boleh ditujukan kepada Sekretariat Eksekutif CCBD melalui e-mel exec.secretariat@ccbd.gov.bn.

    Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang CCBD di www.ccbd.gov.bn atau hubungi talian 2383100.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...