Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Hampir 90 orang kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun dari Sekolah Al-Falaah telah menyertai Sesi Bercerita di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Bandar Seri Begawan anjuran DBP melalui Bahagian Perpustakaan dengan kerjasama Kedutaan Republik Turkiye, kelmarin.
Sesi Bercerita berkenaan diselajurkan dengan aktiviti Siapa Saya, Siapa Cepat dan permainan tradisi Brunei seperti simban, congkak dan lagu kanak-kanak serta memperkenalkan permainan tradisi dan lagu kanak-kanak tradisi Brunei.
Aktiviti berkenaan diadakan bagi mewujudkan penyertaan dan membina pengalaman menarik kanak-kanak untuk mendengar buku cerita secara dinamik dan menyeronokkan.
Seterusnya, ia juga diadakan untuk menimbulkan minat membaca dalam golongan kanak-kanak, di samping itu, kanak-kanak dapat berinteraksi dengan bertanya dan menjawab soalan bagi membuka minda mereka serta lebih memahami tentang buku cerita yang dibaca.
Melalui kegiatan itu jelas menunjukkan bahawa perpustakaan masih memainkan peranan penting sebagai gedung ilmu dengan era Revolusi Industri 4.0.
Selain itu, pengisian kegiatan juga untuk memperkenalkan kebudayaan dan tradisi Brunei dan Turkiye kepada kanak-kanak.
Kerjasama bersama Kedutaan Republik Turkiye itu akan diadakan setiap bulan di cawangan Perpustakaan DBP. Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh mengkuti media sosial perpustakaan, @perpustakaandbpbsb.
