Sunday, April 2, 2023
22.4 C
Brunei

-

Sesi dalam talian tingkat pengetahuan agama Islam

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 10 SEPT – Sebagai usaha untuk menanamkan lagi semangat cintakan membaca Al-Quran tanpa mengira usia, Kumpulan Al-Muyassar telah mengadakan sesi pembelajaran dalam talian yang meliputi berbagai-bagai topik berkaitan agama Islam, hari ini.

Dihadiri oleh 43 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar kumpulan berkenaan, kebanyakannya orang dewasa, sesi dalam talian itu bertujuan untuk memotivasikan dan mengaspirasikan pembelajaran Al-Quran secara berterusan tanpa mengira usia kerana kumpulan tersebut percaya bahawa ia adalah proses pembelajaran sepanjang hayat.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang sesi selama sejam itu termasuk bacaan Surah Yasin yang dipimpin oleh tetamu jemputan dan Ketua Imam Masjid RPN Kampung Pandan, Awang Abdul Qayyum bin Haji Aminnuddin, yang bertujuan untuk mengajar cara membaca Surah Yasin dengan betul.

Kemudian, tazkirah ringkas disampaikan oleh Dayang Hanisah binti Othman, iaitu guru di Institut Tahfiz Al-Quran Haji Hassanal Bolkiah, yang menyentuh mengenai mengatasi dugaan dan cabaran terutamanya pada masa mencabar ini dengan situasi semasa yang dihadapi negara.

Dengan sesi dalam talian itu, Kumpulan Al-Muyassar berharap untuk menggalakkan lagi ahli-ahlinya meningkatkan lagi pengetahuan mereka mengenai agama Islam.

Ke arah itu, kumpulan itu juga kerap mengadakan program Bedah Surah yang dijalankan secara dalam talian setiap Jumaat.

Antara yang menyertai sesi pembelajaran dalam talian anjuran Kumpulan Al-Muyassar berkenaan. – Gambar serahan Kumpulan Al-Muyassar
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hayashi bakal lawat China di tengah-tengah ketegangan

TOKYO, 31 MAC - Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi hari ini berkata beliau akan mengadakan lawatan ke China hujung minggu ini untuk berbincang dengan...
- Advertisment -