Gambar serahan Jabatan Penerangan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Komunikasi Strategik, telah meneruskan lagi Program Sua Muka, kali ini bagi Kampung Bengkurong, Sinarubai dan Burong Lepas, Mukim Kilanas.
Hadir selaku ketua rombongan Jabatan Penerangan ialah Pegawai Penerangan Kanan selaku Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya.
Juga hadir menyertai rombongan ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Masjid, Jabatan Kerja Raya iaitu Jabatan Jalan Raya, Jabatan Saliran dan Pembetungan dan Jabatan Perkhidmatan Air.
Dalam ucapan alu-aluan Hajah Hamsah antara lain menekankan mengenai tujuan utama program itu diadakan iaitu untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dengan rakyat serta pemedulian pihak kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk, menyampaikan maklumat-maklumat terkini (isu-isu semasa dan dasar kerajaan di samping menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Beliau juga mengongsikan mengenai penyebaran maklumat palsu di era digital yang tular dengan begitu cepat melalui pelbagai aplikasi seperti WhatsApp, WeChat, Facebook, Twitter dan Instagram yang menyebabkan orang ramai berasa takut dan cemas.
Turut menyampaikan taklimat ialah Jurutera Jabatan Perkhidmatan Air, Pengiran Hazman bin Pengiran Haji Duraman yang antara lain menyentuh mengenai proses pembekalan air bersih dari Loji Rawatan Air Bukit Barun sehingga sampai kepada pengguna.
Sementara itu, Pemangku Ketua Kampung Bengkurong, Sinarubai dan Burong Lepas, Haji Talib bin Haji Bakar dalam ucapan balasnya berkata, program itu memberikan peluang yang berharga di mana penduduk kampung dapat berinteraksi dengan pihak kerajaan dan mendapatkan maklumat-maklumat terkini melalui sesi dialog dalam suasana yang kondusif dan harmoni.
Dalam sesi dialog, beberapa isu telah dibangkitkan oleh penduduk kampung berkenaan yang disampaikan oleh pemangku ketua kampung dan diberikan penjelasan oleh pegawai-pegawai kanan yang mewakili agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.