BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Jabatan Perancang Bandar dan Desa, semalam, telah mengadakan sesi dialog di antara Pihak Berkuasa Yang Layak Kawalan Pemecahan dan Penyatuan Tanah (PBYLKPT) dan juruukur tanah berlesen yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran, Kementerian Pembangunan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa, Awang Shahrom bin Haji Awang Suhaimi selaku Pengerusi PBYLKPT, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di bawah Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, serta para juruukur tanah berlesen.
Menurut kenyataan Jabatan Peran-cang Bandar dan Desa, sesi dialog berkenaan merupakan program tahunan jabatan berkenaan selaku pengerusi PBYLKPT dalam memberi peluang khususnya kepada pemohon (LLS) untuk berinteraksi dan mengadakan perhubungan dua hala dengan agensi kerajaan yang berkenaan bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi dalam memproses permohonan pemecahan/penyatuan tanah.

Ia merupakan platform bagi para juruukur tanah berlesen untuk mengajukan soalan semasa sesi soal jawab dan seterusnya memberi peluang kepada ahli-ahli pihak berkuasa untuk berkongsi maklumat dan mengadakan perbincangan dua hala di dalam sama-sama meningkatkan mutu perkhidmatan serta kualiti pelan cadangan susun atur tanah melalui pendekatan kawalan pemecahan dan penyatuan tanah yang bersepadu yang mana memerlukan komitmen berterusan dari berbagai pihak.
Aktiviti utama sesi dialog tersebut adalah beberapa sesi taklimat yang telah disampaikan oleh wakil ahli-ahli pihak berkuasa serta membincangkan beberapa isu berkenaan dengan proses untuk mendapatkan kebenaran pemecahan/penyatuan tanah dan keperluan untuk mematuhi parameter perancangan atau keperluan teknikal jabatan-jabatan berkenaan.
Di akhir sesi taklimat, sesi soal jawab telah dibukakan bagi memberi peluang para juruukur tanah berlesen untuk mengajukan soalan dan membincangkan beberapa perkara berbangkit.