Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Sesi dialog tingkat kemahiran bahasa arab

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan SASHHB

    BANDAR SERI BEGAWAN – Unit Intervensi dan Ilmiah Bahasa Arab, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB) telah mengadakan sesi dialog Bahasa Arab dengan tema “Bahasa Arab: Bahasa Al-Quran”, baru-baru ini.

    Program di bawah pengendalian ahli-ahli Qisim (Bahagian) Instagram serta penglibatan ahli-ahli Nadi (Kelab) Bahasa Arab SASHHB itu telah disiarkan secara langsung melalui Instagram rasmi Jabatan Bahasa Arab SASHHB.

    Di antara objektif program ini yang ditekankan oleh ketua Qisim adalah untuk memperbaiki kemahiran penggunaan Bahasa Arab sebagai bahasa perantara khususnya dalam kemahiran percakapan, untuk meningkatkan keberanian para pelajar menggunakan Bahasa Arab selain bahasa lain, untuk meningkatkan kemampuan pelajar dalam berhubung atau berkomunikasi sesama sendiri dalam Bahasa Arab dengan menggunakan ayat yang mudah dan memperkukuhkan daya kerjasama pelajar dalam melaksanakan aktiviti.

    Program itu juga melibatkan tiga buah sekolah Arab di Negara Brunei Darussalam iaitu SASHHB, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Mahad Islam Brunei. Di mana tiga orang daripada pesertanya merupakan peserta Peringkat Akhir Negara Pertandingan Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya tahun 2022 iaitu Awang Abdul Matin bin Zulnorein, Awang Mohd Firdaus bin Mohd Salleh dan Awang Luqman Haqeem @ Arif Darwisy bin Haji Umardani. Sesi dialog telah menampilkan beberapa soalan dalam Bahasa Arab kepada tiga peserta berkenaan dan sekali gus menampilkan persembahan ringkas hafazan dan pemahaman makna dalam Bahasa Arab. Dalam sesi dialog berkenaan, Awang Abdul Matin berkesempatan menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT kerana berjaya mara ke peringkat akhir dan akan berusaha memperbaiki kesilapan pada masa akan datang.

    Beliau mengongsikan pembahagian masa untuk menghafal Al-Quran iaitu dengan menyiapkan tugasan yang diberikan guru terlebih dahulu, kemudian barulah melakukan penghafalan pada waktu petang. Awang Mohd Firdaus turut mengongsikan, pertandingan itu telah menjadi satu platform yang membolehkannya mengetahui kemampuan dirinya untuk menghafaz Al-Quran.

    Beliau juga menjelaskan dengan adanya Nadi Bahasa Arab SASHHB , ia mampu melahirkan pelajar-pelajar yang mampu menuturkan Bahasa Arab dan mengikuti pertandingan.

    Acara diteruskan dengan Pertan-dingan Kuiz Bahasa Arab Sempena Nuzul Al-Quran, yang melibatkan seramai 21 orang pelajar kelab Bahasa Arab dari tiga buah sekolah Arab berkenaan yang mewakilkan tujuh orang peserta dari setiap sekolah.

    Juara pertandingan berkenaan disandang oleh Awang Abdul Matin bin Zulnorein dari SASHHB manakala naib juara pula disandang oleh Awang Muhammad Darwisy Al-Syahiran Bin Rashidi dari Mahad Islam Brunei dan tempat ketiga dimenangi oleh Awangku Muhammad Nur Ulfi Hakeemi bin Pengiran Bahrin dari sekolah yang sama.

    Antara peserta yang mengikuti sesi dialog Bahasa Arab yang disiarkan secara langsung melalui Instagram rasmi Jabatan Bahasa Arab SASHHB, baru-baru ini.
    Pertandingan Kuiz Bahasa Arab Sempena Nuzul Al-Quran turut diadakan semasa program berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...