Sesi khas PBB tentang Ukraine disambung semula

NEW YORK, 22 MAC – Amerika Syarikat (AS), Perancis, Ukraine, Estonia, Georgia, Kanada, Jerman dan beberapa negara lain meminta sesi khas tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Ukraine disambung semula esok, lapor Sputnik.

“Berdasarkan resolusi PBB ES-11/1, yang diterima pakai ketika sesi khas tergempar pada 2 Mac 2022, kami meminta sesi khas tergempar Perhimpunan Agung PBB yang ke-11 disambung semula esok (23 Mac 2022) atau dalam masa terdekat, bagi mempertimbangkan tindakan operasi ketenteraan terhadap isu kemanusiaan di Ukraine,” menurut surat ditujukan kepada Presiden UNGA.

Presidennya, Abdulla Shahid kemudian memutuskan sesi itu akan diadakan pada Rabu, 10 pagi waktu tempatan di ibu pejabatnya di New York.

Rusia melancarkan operasi ketenteraan khas di Ukraine selepas Republik Rakyat Donetsk dan Luhansk (DPR dan LPR) merayu bantuan mempertahankan diri daripada tentera Kyiv pada 24 Februari lalu.

Matlamat operasi khas Rusia adalah untuk “menekan” Ukraine dan hanya menyasarkan infrastruktur ketenteraan.

Moscow berulang kali menegaskan tiada rancangan menakluki Ukraine.

Berikutan krisis berkenaan, negara-negara Barat mengenakan pelbagai sekatan ekonomi terhadap Rusia. – Bernama