Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Jabatan Penerangan sebagai jabatan yang berperanan untuk menyalur maklumat rasmi kepada orang awam, akan sentiasa meneliti program-program jangkauan masyarakatnya yang diungkayahkan setiap tahun.
Program tersebut bukan sahaja terhad kepada penduduk mukim dan kampung, malahan terdapat banyak program lainnya yang menjurus kepada perkongsian maklumat ke sekolah-sekolah, agensi bukan kerajaan dan lain-lain pihak yang berkepentingan dengan tujuan yang sama iaitu menyalurkan atau membarigakan maklumat terkini dan jua mendengarkan isu-isu diperingkat akar umbi.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah dalam kata alu-aluannya semasa Program Muzakarah Penerangan bersama penduduk Mukim Bokok yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok, Daerah Temburong, hari ini.
Menurut kenyataan yang diterima dari Jabatan Penerangan, hadir selaku ahli panel muzakarah ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad.
Turut hadir ialah para pegawai kanan dari jabatan-jabatan kerajaan iaitu Kementerian Kesihatan, Jabatan Daerah Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Sekolah-sekolah, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Saliran dan Pembentungan, Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kemajuan Perumahan, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Syarikat Unified National Networks Sdn Bhd (UNN).
Juga hadir ialah Pemangku Penghulu Zon 2 Mukim Bokok dan Mukim Amo, Haji Suhaili bin Haji Badas dan ketua-ketua kampung di bawah Mukim Bokok serta penduduk kampung di bawah tadahan mukim berkenaan.
Dayang Siti Bismi Nuruliman dalam ucapan alu-aluannya lagi berkata muzakarah Penerangan adalah merupakan satu program di mana pihak kerajaan yang diwakili oleh agensi-agensi kerajaan berdialog atau bermuzakarah dengan pemimpin akar umbi masyarakat dalam menyampaikan dan menjelaskan apa jua perihal yang berkaitan dengan masalah orang ramai di samping berkongsi dan membarigakan maklumat rasmi kerajaan.
Antara perkara-perkara yang dibentangkan di sesi muzakarah berkenaan ialah mengenai prasarana, kemudahan awam, alam sekitar, keselamatan dan lain-lain.
Program itu diharap akan dapat merapatkan lagi hubungan dua hala antara pihak kerajaan dengan rakyat dan penduduk di negara ini.
Dengan adanya program sebegini, ia melihatkan kepekaan dan sikap pemedulian kerajaan dalam memastikan rakyat dan penduduk di negara ini hidup aman damai dan sejahtera.