Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Mewujudkan generasi yang berkemahiran dan berpendapatan menerusi program keusahawanan dan latihan kepimpinan mungkin akan dapat menangani masalah pekerjaan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.
Perkara itu disentuh oleh Ketua Kampung Limau Manis, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari dalam Sesi Muzakarah Zon 5 bagi Daerah Brunei dan Muara bersama penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung yang diadakan di Tingkat 4, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, pagi tadi.
Yang Berhormat Haji Mohimin dengan visinya ‘Mencipta Generasi Berkemahiran dan Berpendapatan Tinggi’ menjelaskan lagi, bahawa dengan adanya generasi sebegitu, ia akan dapat memberi sumbangan kepada ekonomi negara di samping menangani masalah mendapatkan pekerjaan.
Selain itu, ujar Yang Berhormat lagi, ia juga salah satu cara untuk menangani masalah kebergantungan kepada hasil minyak dan gas melalui program keusahawanan, latihan kepimpinan dan bina diri yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat setelah mendapat sokongan daripada pihak yang berkenaan.
“Dalam merealisasikan visi ini, kita akan bekerjasama dengan pihak yang tertentu termasuklah pakar-pakar dalam bidang masing-masing seperti latihan asas kepimpinan dan bina diri, latihan tanaman padi, latihan ternakan dan lain-lain.”
Menurutnya lagi, satu kertas kerja secara komprehensif akan dibuat untuk memastikan program yang disebutkan tadi akan berjalan secara profesional dan berkesan.
Pada masa yang sama, Sesi Muzakarah bagi Zon 3, Daerah Brunei dan Muara bersama dengan Penghulu Mukim Kota Batu, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis juga diadakan di Tingkat 1, Bilik Persidangan Bangunan Lama, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Kedua-dua sesi muzakarah itu diadakan adalah untuk membincangkan mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung dan memastikan kesejahteraan dan keharmonian negara.