BAITULMAQDIS, 2 OKT – Peguam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tiba untuk sesi pendengaran sebelum pertuduhan mengenai dakwaan kes rasuahnya semalam dan berjanji meyakinkan pendakwa raya untuk menggugurkan kes terhadapnya.
Peguam Negara Israel, Avichai Mandelbit, Februari lalu mengumumkan hasrat untuk mendakwa Netanyahu kerana rasuah, penipuan dan pecah amanah sementara menantikan sesi pendengaran dalam tiga kes berasingan.
Bercakap kepada wartawan di luar bangunan Kementerian Kehakiman sebelum sesi pendengaran tertutup, peguam Netanyahu, Ram Caspi, berkata berdasarkan bahan dan hujah yang akan dikemukakan, ia mempunyai asas kukuh untuk perubahan kes.
Caspi juga berkata, beliau yakin Mandelblit akan mencapai keputusan dengan cara professional dan tidak mempedulikan berita fitnah.
“Perdana Menteri bukan di atas undang-undang, tetapi dia juga bukan berada di bawah undang-undang,” kata Caspi.
Mandelblit menolak permohonan Netanyahu untuk menyiarkan sesi pendengaran secara langsung.
Seorang lagi peguam, Amit Hadad, berkata mereka mempunyai bukti baharu untuk dikemukakan kepada Mandelblit.
“Pada akhirnya, tiga kes akan ditutup,” katanya kepada wartawan.
Sesi itu berlangsung selama empat hari dan Netanyahu tidak dijangka hadir. – AFP



































