Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan UNISSA
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Seramai 28 orang peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) kali ke-32, mengikuti sesi perkongsian Ambassadorial Talk, hari ini.
Sesi perkongsian tersebut merupakan salah satu pengisian program yang telah diadakan di Universiti Islam Sultan Sharif Ali yang mana ia telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow.
Perkongsian yang bertajuk The Issues and Challenges of Diplomacy During and After COVID-19: Maintaining Multilateralism for Global Peace and Security antara lain mengupas isu dan cabaran diplomasi yang dihadapi dunia akibat penularan COVID-19 yang secara tidak langsung menyebabkan semua pihak untuk hidup dalam keadaan norma baharu.
Sesi perkongsian itu telah dipengerusikan oleh Profesor Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Profesor Dr Razali bin Matzin. Acara diakhiri dengan sesi soal jawab oleh beberapa orang peserta EDPMMO.