Sesi persekolahan disambung semula

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Setelah lebih dua bulan para pelajar tidak menjejakkan kaki ke sekolah, berjumpa dengan guru dan rakan-rakan dan sebaliknya hanya meneruskan pembelajaran secara dalam talian di rumah masing-masing, hari ini sebahagian daripada pelajar telah memulakan kembali sesi persekolahan mereka di sekolah masing-masing.

Meskipun para pelajar telah dibenarkan untuk memulakan sesi persekolahan, warga sekolah sering diberi peringatan untuk sentiasa mematuhi peraturan penjarakan sosial, memakai penutup mulut dan hidung, sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman dan meningkatkan lagi mutu dan tahap kebersihan diri masing-masing, bilik darjah dan sekolah bagi mencegah penularan COVID-19.

Tinjauan pihak Media Permata ke Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun, Kluster 2 mendapati para guru dan kakitangan di sekolah berkenaan bersungguh-sungguh dalam memastikan tahap kebersihan dan kesejahteraan murid-murid dan seluruh warga sekolah terjamin bagi menghindari penularan wabak COVID-19.

Guru Besar Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun, Dayang Salinawati binti Mohd Zainal ketika ditemui menjelaskan bahawa pembukaan sekolah pada hari ini hanya dihadiri oleh pelajar Tahun 6 sahaja.

Menurutnya, sejurus para murid tiba ke sekolah, suhu badan mereka akan diperiksa oleh kakitangan sekolah selain diberikan cecair pembasmi kuman dan penutup mulut dan hidung bagi yang tidak membawanya.

Guru besar Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun ketika ditemui pihak media.

Kemudian, mereka turut ditanya mengenai keadaan kesihatan mereka bagi memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan baik dan sihat untuk meneruskan pembelajaran mereka di sekolah pada hari tersebut.

Demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah, para guru juga turut dipantau dan mereka harus membuat penilaian kesihatan diri dan dimestikan menggunakan kod QR BruHealth setiap kali mereka ingin masuk dan keluar sekolah.

Seramai 48 orang pelajar Tahun 6 di tersebut yang sebelumnya mempunyai dua buah kelas kini terpaksa dibahagikan kepada empat buah kelas bagi memastikan penjarakan sosial diamalkan serta mengurangkan risiko jangkitan.

Meskipun beberapa aktiviti kumpulan atau pembelajaran secara berpasangan ketika ini tidak dijalankan ditambah dengan pergerakan murid yang terhad, para guru-guru tetap gigih mengajar dengan sebaik mungkin untuk mencurahkan ilmu pengetahuan kepada anak didik mereka terutama sekali menjelangnya peperiksaan besar tidak lama lagi.

Guru-guru turut diarahkan untuk menggunakan penutup mulut dan hidung ketika mengajar selain mengamalkan penjarakan fizikal.

Di samping itu, bilik guru turut dibahagikan kepada beberapa bahagian bagi mengurangkan kepadatan isi ruangan pejabat mereka seterusnya membolehkan penjarakan sosial diamalkan.

Dayang Salinawati turut menjelaskan bahawa waktu rehat bagi para pelajar juga dibahagikan kepada dua sesi berasingan bagi mengelakkan keadaan yang sesak sewaktu rehat. Kakitangan dan guru-guru di sekolah berkenaan turut sentiasa memantau keadaan pelajar semasa waktu rehat serta membuat label-label penjarakan sosial bagi memudahkan pelajar mematuhi arahan.

Beliau turut berdoa berdoa dan berharap agar pandemik COVID-19 ini dapat diatasi secepatnya dan pembelajaran di sekolah akan dapat kembali berjalan seperti sebelumnya tanpa berasa takut akan risiko jangkitan wabak berkenaan.