Sesi persekolahan penuh dibenarkan mulai 27 Julai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Pelan de-escalation bagi pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi pendidikan di Negara Brunei Darussalam akan memasuki fasa keempat pada 27 Julai ini.

Ia adalah bagi semua sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, semua sekolah swasta serta sekolah Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) termasuk institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) bagi Sesi Akademik 2020-2021.

Pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran peringkat keempat itu akan bermula pada 27 Julai dan bagi sekolah-sekolah antarabangsa, ia adalah tertakluk kepada tarikh yang telah ditetapkan oleh institusi masing-masing, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menyatakan lagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sesi persekolahan peringkat keempat adalah dibenarkan untuk mengadakan sesi persekolahan seperti biasa.

“Pada peringkat ini, semua aktiviti di luar bilik darjah seperti perkumpulan pagi, sukan dan kokurikulum secara bersemuka masih tidak akan dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.”

Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika memaklumkan mengenai persekolahan peringkat keempat semasa sesi sidang media tersebut. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Yang Berhormat Dato menyatakan lagi bahawa bagi pelaksanaan mod pembelajaran peringkat ke-4 bagi IPTA dan IBTE adalah tertakluk kepada keperluan program-program yang dijalan-kan di mana pihak IPTA dan IBTE diberi fleksibiliti dalam menentukan kaedah-kaedah pembelajaran yang bersesuaian kepada pelajar-pelajar termasuklah meneruskan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian seperti yang telah berjalan pada masa ini.

Sementara itu, bagi penempatan kerja dan lawatan-lawatan sambil belajar di dalam negara adalah dibenarkan tertakluk kepada Laporan Penilaian Risiko (Risk Assesment) dan kebenaran daripada pihak pengurusan IPTA dan IBTE.

Manakala program Study Abroad atau program-program ke luar negara masih tidak dibenarkan sebagaimana juga tegahan bagi seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk keluar negeri masih dikekalkan seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini.

Bagi peringkat keempat, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa semua kemudahan asrama di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan KHEU dibenarkan untuk beroperasi semula dengan kapasiti penuh.

“Dalam hal ini, atas nasihat Kementerian Kesihatan, pengawas pelajar asrama adalah dikehendaki untuk memantau kesihatan pelajar dengan mengemas kini status kesihatan pelajar melalui aplikasi BruHealth pada setiap hari.”

Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa dengan jumlah lebih ramai lagi pelajar kembali bersekolah di peringkat ke-4, pihak Kementerian Pendidikan akan lebih cenderung dalam menekankan aspek kebersihan diri serta premis sekolah dan institusi-institusi pengajian.

Pihak sekolah dan institusi-institusi pengajian ditekankan untuk menggunakan garis panduan serta langkah-langkah menjaga keselamatan, kebersihan dan pencegahan yang telah disediakan dalam memastikan kesejahteraan pelajar-pelajar dan warga sekolah serta institusi-institusi pengajian adalah terjamin.

Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengembalian Semula Sekolah atau Pelan De-Escalation IPTA dan IBTE seperti mengadakan pemeriksaan suhu badan setiap hari bagi pelajar-pelajar, guru-guru, tenaga pengajar, pensyarah-pensyarah dan individu-individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah dan institusi-institusi pengajian masih diteruskan.

Sementara itu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa pusat-pusat tuisyen juga akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh di mana langkah-langkah pencegahan seperti pemeriksaan suhu badan dan penggunaan pengimbasan Kod QR bagi individu yang keluar masuk dari dan ke premis tuisyen berkenaan hendaklah dilakukan dan mereka yang mempunyai simptom dan berada dalam kod merah adalah tidak akan dibenarkan untuk hadir serta pemakaian sebarang jenis penutup hidung adalah digalakkan.

“Dengan normal baharu dalam amalan dan penekanan terhadap kebersihan diri yang diperkenalkan, Kementerian Pendidikan berharap norma-norma baharu ini akan terus diamalkan khususnya dalam memupuk budaya kebersihan demi kesejahteraan warga sekolah pasca COVID-19 nanti.

“Pihak Kementerian Pendidikan berharap pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi pendidikan di Negara Brunei Darussalam bagi peringkat keempat ini nanti akan berjalan dengan lancar dan selamat.”