Sesi persekolahan peringkat ke-4 lancar

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Kawasan sekolah yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini lengang akibat pandemik COVID-19, kembali dipenuhi dengan kenderaan para ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah selepas sesi persekolahan peringkat ke-4 bermula di seluruh negara, hari ini.

Dalam tinjauan ke Taman Asuhan (TA) 1,2 dan 3, Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB) hari ini, para murid TASKA dilihat hadir ke sekolah dengan memakai penutup mulut dan hidung serta menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke perkarangan sekolah.

Pengetua TASKA, Datin Hajah Zainab binti Haji Abdul Wahab yang sempat ditemu bual oleh media semasa tinjauan tersebut berkata, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sesi persekolahan peringkat ke-4 adalah dibenarkan untuk mengadakan sesi persekolahan lima kali dalam seminggu seperti kebiasaannya dengan melaksanakan langkah penjarakan sosial selain sentiasa menjaga kebersihan diri.

“Pada peringkat ini, semua aktiviti di luar bilik darjah seperti perkumpulan pagi, sukan dan kokurikulum secara bersemuka masih tidak akan dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan di maklumkan nanti,” jelasnya.

Datin Hajah Zainab seterusnya menjelaskan pelbagai persiapan telah dibuat bagi mengalu-alukan kanak-kanak TASKA untuk kembali mengikuti pengajaran dan pembelajaran seperti biasa bermula hari ini.

Antara murid-murid TASKA yang hadir ke sekolah dengan memakai penutup mulut dan hidung ketika diperiksa suhu badan.

“Antara persiapan yang telah dibuat dengan mengatur semula kedudukan tempat duduk untuk kanak-kanak yang mana pada peringkat sebelum ini, kehadiran kanak-kanak untuk mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah dibahagikan kepada dua kumpulan,” tambahnya.

Beliau seterusnya menjelaskan mengenai strategi TASKA dari segi pembelajaran di mana TASKA menggunakan Play Base dengan membuat kumpulan kecil saja secara bergilir.

Sementara itu, waktu ibu bapa dan penjaga untuk menjemput anak-anak mereka pulang dari sekolah untuk peringkat ini, dibuat mengikut TA masing-masing bagi mengelakkan bertembung dengan pelajar rendah dan menengah seterusnya mengekalkan penjarakan sosial.

Dalam kesempatan ini juga, media sempat menemu bual beberapa ibu bapa yang rata-rata melahirkan perasaan bersyukur kerana operasi pengajaran dan pembelajaran sekolah yang dibuat secara serentak bermula hari ini.

Haji Masnon bin Haji Doming, 43, menjelaskan, dengan peringkat ke-4 bermulanya persekolahan anak-anak hari ini, memberikan satu kelegaan kerana mereka akan mendapat pendidikan yang terbaik dan teratur lagi.

“Selain itu, kanak-kanak juga tidak sabar dan merindui untuk menjalani pembelajaran di dalam bilik darjah di samping dapat berjumpa dengan kawan-kawan dan juga guru mereka,” tambahnya.

Manakala semasa tinjauan media di salah sebuah institusi pengajian tinggi di Universiti Teknologi Brunei (UTB) pula, para pelajar dilihat kembali ke kampus mereka dengan membiasakan normal baharu seperti melakukan penjarakan sosial dan mengimbas kod QR sebelum memasuki bilik kuliah masing-masing.

UTB juga telah melaksanakan pembahagian keramaian kelas secara terhad mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Peperiksaan pula akan dijalankan seperti biasa di kampus seperti yang dijadualkan dalam kalendar akademik universiti.

Prosedur seperti pemeriksaan suhu, kehadiran, log masuk dan penggunaan aplikasi BruHealth pula akan terus dipraktikkan ketika masuk dan keluar ke universiti berkenaan.