Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Kecewa kelewatan urusan pembaharuan pas pelajar

    Sesi persekolahan secara bersemuka bagi tahun 7 dan ke atas telah bermula pada Isnin lalu. Walau bagaimanapun timbul masalah bagi sebilangan besar pelajar warga asing di negara ini yang memegang pas pelajar untuk menghadirkan diri ke sekolah.

    Masalah utama yang dihadapi ialah pelajar-pelajar ini tidak dibenarkan sama sekali untuk hadir ke sekolah kerana pembaharuan pas pelajar mereka yang masih belum siap. Sebagai seorang bapa, saya amat kecewa dengan keadaan ini kerana kelewatan pas pelajar ini bukanlah daripada pihak kami akan tetapi disebabkan kelewatan memproses di bahagian pihak berkaitan imigresen itu sendiri.

    Beberapa tahun sebelum ini, proses kelulusan pas pelajar ini hanya mengambil masa beberapa jam sahaja untuk disemak dan diluluskan. Tidak lama selepas itu, ianya mengambil masa 3 ke 4 hari untuk diluluskan dan pada masa ini ianya mengambil masa sebulan atau lebih untuk proses yang sama.

    Mengapa perkara ini boleh berlaku? Proses yang dahulunya hanya beberapa jam kini menjadi beberapa bulan. Adakah ini semua disebabkan masalah kekurangan kakitangan berikutan pengurangan kadar tenaga kerja di pejabat disebabkan pandemik?

    Sepatutnya dalam tempoh ini, pihak berkenaan perlu mengambil inisiatif untuk menaik taraf perkhidmatan sedia ada kepada perkhidmatan yang menjurus ke arah digital yang dilihat lebih cekap, mudah dan pantas.

    Tahun 7-9 sudah pun memulakan persekolahan, namun sebahagian pelajar warga asing yang mempunyai masalah pembaharuan pas pelajar masih lagi kandas di rumah. – Gambar fail

    Tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Pada masa ini proses yang suatu masa dahulu ringkas dan mudah menjadi bertambah sukar dengan penambahan prosedur-prosedur baharu seperti pas pelajar tidak lagi dapat diuruskan sendiri dan perlu diuruskan oleh pihak ketiga iaitu ejen atau bahagian sumber manusia syarikat masing-masing.

    Oleh kerana masalah ini, anak-anak yang mahu bersekolah menjadi mangsa keadaan. Mereka diarahkan untuk tidak hadir ke sekolah berminggu-minggu sementara menanti pas pelajar mereka siap (tetapi pujian bagi sejumlah kecil sekolah yang menggunakan budi bicara membenarkan pelajar hadir).

    Dalam masa yang sama mereka keciciran dalam pelajaran sekali gus memberi impak psikologi yang buruk terhadap mereka terutama pelajar-pelajar menengah yang bakal menghadapi peperiksaan besar.

    Masalah ini bukan masalah baharu akan tetapi masalah yang berulang-ulang setiap kali memperbaharui pas pelajar dan kini ianya dilihat semakin meruncing serta bukannya dialami saya seorang sahaja, malahan rakan sekerja juga menghadapinya.

    Apa yang menjadi persoalan saya di sini apakah pengesahan dari jabatan berkaitan hal persekolahan sahaja tidak memadai untuk membenarkan pelajar-pelajar ini untuk hadir ke sekolah dalam situasi ini sementara menunggu kelulusan dari satu lagi bahagian?

    Apa yang saya lihat, setiap sekolah begitu mementingkan kehadiran setiap para pelajarnya malahan sedikit kelewatan pun akan diambil tindakan.

    Tetapi dalam hal ini ada sebahagian sekolah seolah-olah hanya menutup mata dan membiarkan pelajarnya tidak hadir ke sekolah serta keciciran untuk tempoh yang begitu lama disebabkan isu kelewatan pembaharuan pas pelajar ini sahaja.

    Saya amat berbesar hati sekiranya pihak relevan dapat mencari penyelesaian terbaik dalam isu ini kerana perkara ini bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh kerana ianya melibatkan masa depan anak-anak kita.

    Carilah alternatif untuk mempermudahkan urusan pembaharuan pas pelajar ini agar anak-anak ini dapat belajar dengan sempurna sekali gus menjadi insan berguna suatu hari nanti.

    Bapa Perihatin

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...