Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesi pertemuan bincang isu tenaga kerja ICT tempatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Kumpulan Kerja Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Kerja bagi Sektor ICT (MISC-WG ICT), baru-baru ini, telah mengendalikan sesi pertemuan pertama bersama pihak berkepentingan bagi membincangkan mengenai tenaga kerja ICT dan peluang-peluang pekerjaan dengan perniagaan-perniagaan ICT dan bukan ICT.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), sesi berkenaan bermatlamat untuk memahami lagi cabaran-cabaran pengambilan profesional ICT tempatan serta mendapatkan maklumat balas dan maklumat mengenai tenaga kerja ICT yang diperlukan dan permintaan masa depan.

    Sesi berkenaan diadakan pada 13 Oktober lalu yang dihadiri oleh lebih 50 orang peserta daripada sektor bukan ICT manakala itu, sesi bagi sektor ICT yang dihadiri oleh 90 orang perwakilan telah berlangsung kelmarin.

    Hadir untuk menyampaikan ucapan alu-aluan ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AITI, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar dan Pengerusi InfoComm Federation Brunei (IFB), Sheikh Haji Abas bin Sheikh Mohamad selaku pemimpin bersama MISC-WG ICT.

    Semasa sesi berkenaan, hadirin mendengarkan taklimat mengenai pelbagai inisiatif pembangunan tenaga kerja oleh Sekretariat Tetap Majlis Perancangan dan Pengambilan Tenaga Kerja (MPEC) di Jabatan Perdana Menteri.

    Ir Haji Jailani (kiri) dan Sheikh Haji Abas (kanan) semasa menghadiri sesi pertemuan berkenaan.

    AITI selaku Sekretariat MISC-WG ICT juga berkongsi mengenai landskap tenaga kerja semasa dalam industri ICT serta aktiviti-aktiviti dan apa yang akan dilaksanakan oleh kumpulan kerja berkenaan.

    Sesi pertemuan berkenaan diakhiri dengan sesi breakout yang dimudahcarakan oleh Dr Yong Tee Chuan yang merupakan ahli MISC-WG ICT, di mana hadirin membincangkan mengenai isu-isu berkaitan pengambilan tenaga kerja ICT tempatan, pekerjaan-pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi dan cadangan-cadangan untuk mengatasi cabaran berkenaan.

    AITI turut memaklumkan bahawa sesi pertemuan seterusnya bersama pencari kerja ICT akan diadakan pada 19 Oktober di JobCentre Brunei di mana, semua pencari kerja ICT tempatan dialu-alukan untuk hadir.

    Bagaimanapun, tempat duduk adalah terhad dan berdasarkan yang dahulu didahulukan.

    Mereka yang berminat perlu menghantar nama mereka menerusi https://miscict1910.eventbrite.com sebelum 1 petang esok.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda