Sesi sekolah bermula

Oleh Siti Nur Wasimah S. & Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jan – Memandangkan penggal persekolahan tahun baru bermula esok, kedai-kedai buku di negara hari ini dipenuhi oleh para ibu bapa dan penjaga bagi mendapatkan buku-buku teks dan buku kerja yang diperlukan oleh anak-anak mereka.

Pengurus Jualan Samima Sdn Bhd, Mohamad Rafi semasa ditemui menyatakan sejak hari pertama penjawat awam menerima bonus, rata-rata ibu bapa dan penjaga berpusu-pusu berkunjung ke kedai-kedai buku yang mana kedai buku Samima Sdn Bhd telah pun melanjutkan waktu operasi sehingga hampir jam 12 tengah malam.

Menurutnya lagi, pada hari kebiasaan kedai Samima Sdn Bhd akan tutup jam 10 malam tapi sejak tiga hari lepas, kedai tersebut telah melanjutkan lagi waktu operasinya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan.

Mohamad Rafi menjelaskan lagi, kedai Samima sehingga kini mempunyai stok bekalan buku yang mencukupi.

“Jualan produk seperti baju-baju sekolah dan uniform serta barangan lain juga berjalan dengan lancar. Kedai ini merupakan kedai ‘one stop station’ yang mana ini memberikan kemudahan bagi pelanggan untuk berbelanja di satu kedai sahaja mengikut keperluan masing-masing,” jelas Mohamad Rafi.

Suasana kedai buku yang dipenuhi oleh pelanggan petang kelmarin.
Suasana kedai buku yang dipenuhi oleh pelanggan petang kelmarin.

Di samping itu Samima Sdn Bhd turut memberikan promosi hadiah percuma dengan memberikan planner kepada pelanggan yang membuat perbelanjaan $50 ke atas, jika berbelanja $150 ke atas, mereka akan diberikan kalendar meja dan payung kepada yang berbelanja lebih $300.

Beliau menjelaskan lagi bahawa hari ini orang ramai kelihatan begitu sibuk sejak awal pagi lagi kerana cuti persekolahan telah pun berakhir dan rata-rata para pelajar akan kembali ke sekolah bermula esok.

“Sambutan orang ramai hari ini begitu menggalakkan sejak awal pagi lagi apabila kedai dibuka pada jam 8:30 pagi kerana para ibu bapa ingin mendapatkan buku-buku teks dan buku-buku keperluan sekolah sebelum hari esok.

“Alhamdulillah sambutan tahun ini juga begitu baik jika dibandingkan pada tahun lepas dan pada tahun ini kedua-dua cawangan Samima Sdn Bhd di Kiulap telah pun menyediakan hampir 40 orang pekerja tempatan bagi sama-sama menangani dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan.”

Mohamad Rafi semasa ditemui wakil media kelmarin.
Mohamad Rafi semasa ditemui wakil media kelmarin.
Kedai gunting juga sibuk dengan barisan kanak-kanak lelaki menanti giliran untuk bergunting rambut.
Kedai gunting juga sibuk dengan barisan kanak-kanak lelaki menanti giliran untuk bergunting rambut.

Selain gedung-gedung buku, kedai-kedai jahit dan kedai kasut, kedai-kedai gunting juga kelihatan sibuk dengan barisan kanak-kanak lelaki menanti giliran untuk bergunting rambut.

Ini adalah bagi memastikan rambut kanak-kanak rapi, kemas dan memberikan semangat untuk mereka memulakan hari persekolahan dengan wajah baru sambil segak tanpa melanggar peraturan sekolah.

Salah seorang tukang gunting berbangsa India dalam temu bual ringkas turut menjelaskan ini adalah musim yang dinanti-nantikan dalam kesibukan mengendalikan perkhidmatan mereka sebaik yang mungkin.

“Selain menjelang Hari Raya Aidilfitri, menjelang bermulanya musim persekolahan juga adalah antara masa kedai kami dipenuhi dan seluruh kakitangan kami akan sibuk melakukan tugas masing-masing dengan memenuhi kehendak potongan rambut yang diinginkan,” jelasnya lagi.

Selain itu, ibu bapa juga disibukkan dengan persiapan akhir dalam penyediaan seragam sekolah tersedia diseterika digantung dan siap sedia untuk digunakan esok bagi mengelakkan kesibukan yang berterusan.