Sesi sekolah dalam normaL baharu

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Sesi persekolahan yang dibukakan secara berfasa hari ini telah mengalu-alukan para pelajar sekolah rendah, menengah dan pusat tingkatan enam yang akan menduduki peperiksaan besar tahun ini setelah lebih dua bulan ia ditutup susulan wabak koronavirus yang menjangkiti jutaan orang di seluruh dunia.

Sejak itu, sesi pembelajaran telah diadakan secara dalam talian dan menggunakan kaedah Home Pack Learning (HPL) yang diperoleh dari sekolah masing-masing serta mengikuti program-program pendidikan menerusi televisyen dan sosial media agar pendidikan tidak akan terhenti ketika pandemik.

Semasa pembukaan sekolah dengan normal baharu ini, guru-guru juga sudah bersiap-sedia daripada awal lagi dengan mengikut saranan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan untuk mengekalkan langkah-langkah penjagaan kesihatan seperti pemeriksaan suhu badan, penjarakan sosial, kebersihan dalam kalangan guru dan para pelajar di sekolah.

Semasa tinjauan media ke Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) hari ini, sesi pembelajaran bagi pelajar Tahun 6 dilihat berjalan dengan lancar dengan penjarakan sosial ditekankan sepanjang sesi pembelajaran.

Pengetua SR YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi semasa ditemui menjelaskan, sebelum sekolah dibukakan, pihak sekolah mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan bersama guru-guru yang bukan saja menyentuh mengenai akademik dan pembelajaran pelajar malah mengenai kebersihan, penandaan jarak sosial di beberapa buah tempat di kawasan sekolah dan cara untuk mengawal kanak-kanak dalam mematuhi jarak sosial.

Antara pelajar yang memakai alat pelindung muka semasa mengikuti sesi persekolahan yang dimulakan kelmarin.
Hajah Mariam ketika ditemu bual oleh wartawan Media Permata.
Pembelajaran dalam talian masih diteruskan seperti biasa.
Setiap pelajar dimestikan mengamalkan penjarakan sosial bagi pembelajaran di dalam bilik darjah.

Pelekat yang ditampal di lantai sekolah untuk memberi peringatan kepada para pelajar untuk mematuhi penjarakan sosial.

Beliau seterusnya menjelaskan, ibu bapa dan penjaga turut dimaklumkan tentang peniadaan kurikulum semasa COVID-19 ini, selain menghendaki para pelajar untuk memakai penutup mulut dan hidung serta membawa pensanitasi tangan sendiri.

Menurut beliau, pada hari pertama kemasukan pelajar Tahun 6 ke sekolah ini, sesi pembelajaran berjalan dengan lancar dengan setiap kelas dibahagikan kepada dua kumpulan.

Mengulas mengenai persediaan pelajar menghadapi peperiksaan besar, Hajah Mariam mengatakan, sesi perbincangan bersama guru-guru juga diadakan bagi menilai sejauh mana kefahaman pelajar mengenai mata pelajaran mereka dengan langkah-langkah intervensi juga akan diambil terhadap mana-mana mata pelajaran yang lemah dan keputusannya akan dirujuk kepada data pencapaian pelajar.

“Mana-mana arahan dari Kementerian Pendidikan mengenai kurikulum yang akan diajarkan telah disampaikan kepada guru-guru dan ulang kaji juga akan dilaksanakan bagi memastikan semua pelajar bersedia sebelum menghadapi peperiksaan nanti,” tambahnya.

Sementara itu, guru mata pelajaran Bahasa Inggeris, Dayang Rahmah binti Haji Ismail mengatakan banyak persiapan telah dibuat untuk memastikan sesi pembelajaran berjalan dengan lancar dan teratur sebelum sesi persekolahan ini bermula.

“Pada hari pertama persekolahan ini, saya mengambil langkah untuk membuat ulang kaji pelajaran dan apa yang telah dipelajari semasa pembelajaran dalam talian di samping memastikan semuanya telah dibuat semasa pembelajaran dalam talian dan menggunakan kaedah HPL,” tambahnya.

Beliau turut berkongsi di mana pelajar-pelajar sangat teruja untuk memulakan sesi pembelajaran seperti biasa dan di dalam suasana bilik darjah.

Katanya lagi dengan penuh harapan, pelajar-pelajar dihasratkan dapat belajar seperti biasa dan dapat menyelesaikan sukatan pelajaran mereka sebelum peperiksaan pada November ini.