BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Kementerian Pendi-dikan melalui Bahagian Pendidikan Swasta dengan kerjasama Unit Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21), hari ini, telah mengadakan sesi Taklimat SPN21 bagi Sekolah-sekolah Swasta kali ke-2 di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan.
Taklimat kali ini adalah bagi pemimpin dan guru-guru sekolah-sekolah pendidikan swasta di bawah Kluster 2 hingga 4, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah.
Turut hadir ialah pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan.
Kenyataan itu menjelaskan, taklimat berkenaan diadakan untuk berkongsi sama mengenai perlaksanaan SPN21 dan juga mengenai kemajuan yang berterusan dalam perlaksanaan SPN21.
Taklimat itu juga adalah bagi pihak berkepentingan khususnya para pemimpin sekolah dan guru-guru sekolah swasta bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam perlaksanaan SPN21.
Pada majlis itu, Taklimat SPN21 telah disampaikan oleh Ketua Unit SPN21, Pengiran Hajah Mashayu binti Pengiran Haji Yusof dan majlis diakhiri dengan sesi soal jawab bersama pemimpin dan guru-guru sekolah. Wakil dari sebanyak 39 buah sekolah swasta telah menyertai taklimat berkenaan dan ia akan dilaratkan bagi sekolah pendidikan swasta di bawah Kluster 5 dan 6.
Taklimat berkenaan juga telah diadakan bagi sekolah-sekolah swasta di bawah Kluster 1 pada Mei lalu.