Saturday, September 23, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    Sesuai strategi ikut trend mega

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Kerajaan harus terus berjaga-jaga dengan gangguan trend mega (megatrend) dan berpandangan jauh mengenai permintaan serta pasaran masa hadapan.

    Dalam hubungan itu, kerajaan Negara Brunei Darussalam secara aktif telah menyesuaikan strateginya mengikut trend mega dan perubahan masa supaya kekal siap siaga masa hadapan serta memastikan pertumbuhannya yang mampan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Perancangan Sosioekonomi bagi Brunei: Cabaran-cabaran dan Peluang-peluang semasa Forum Ekonomi Brunei (BEF) ke-2, 2023 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Dalam membangunkan jenama Brunei Halal, jelasnya, Negara Brunei Darussalam bukan sahaja memasuki pasaran global halal yang berkembang tetapi juga meletakkan negara sebagai sebuah hab industri halal serantau dan antarabangsa.

    Pada masa yang sama, Brunei mempunyai standard dan proses persijilan halal yang ketat di mana ia mengukuhkan lagi penjenamaan Brunei Halal.

    Pengiran Dr Hajah Norulazidah (kiri), Dayang Noraini (dua kiri), Dr Noor Rahman (dua kanan) dan Haji Mohd Khairul Zaki (kanan) semasa sesi perbincangan panel yang berlangsung di UBD kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Peserta persidangan memberikan tumpuan kepada pembentangan ucaptama semasa Forum Ekonomi Brunei ke-2, 2023 yang berlangsung di UBD, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Di samping itu, Brunei Food Industry Development Multipurpose Manufacturing and Processing Facility (BFID), selain daripada berkhidmat sebagai pangkalan bagi pembuatan Ghanim untuk produk-produk bruneihalalfoods, ia juga menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pembungkusan dan pelabelan dan pembangunan produk di mana ia menyediakan peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berinovasi serta mengembangkan lagi perusahaan mereka dan meningkatkan pengeluaran tempatan untuk memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa.

    Dr Hajah May Fa’ezah menyatakan, dalam mempelbagaikan ekonomi negara dan meningkatkan hubungan perdagangan dengan negara-negara lain, Brunei juga mengintegrasikan dirinya ke dalam rantaian nilai global dan kerajaan juga terus mengukuhkan kedayatahanan komoditi-komoditi import utamanya.

    Semua itu, jelasnya, dilaksanakan menerusi kolaborasi bersama rakan-rakan dan jiran dengan menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) bersama Singapura pada 2022 termasuk MoU bagi Mengukuhkan Perdagangan dan Kerjasama Pelaburan dalam Produk Perubatan dan Makanan.

    Negara Brunei Darussalam juga telah menandatangani sebuah MoU bagi Kerjasama dalam Ekonomi Hijau dan Tenaga yang dihasratkan untuk meningkatkan kefahaman mengenai isu-isu berkaitan dengan perubahan iklim.

    Ia juga dapat membantu kita untuk merealisasikan potensi yang besar bagi kerjasama tenaga dalam pelbagai inisiatif seperti peralihan tenaga, pasaran karbon, penangkapan dan penyimpanan karbon serta ekonomi hijau.

    Brunei juga menjadi tuan rumah kepada Pusat ASEAN bagi Perubahan Iklim di mana semua itu akan membantu negara untuk bersedia menghadapi cabaran-cabaran menggubal dasar bagi mempercepatkan usaha penyesuaian dan mitigasi iklim serta menjana peluang untuk inisiatif perubahan iklim dalam kalangan negara anggota ASEAN dan rakan-rakan lain ke arah sifar bersih karbon.

    Forum itu diteruskan dengan sesi perbincangan panel bertajuk ‘Membentuk Masa Depan Sosioekonomi Brunei’, dengan ahli-ahli panel terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Gahnim International Corporation, Dr Noor Rahman; Pemangku Ketua Manpower Planning and Employment Council (MPEC) Secretariat di Jabatan Perdana Menteri, Dayang Noraini binti Haji Mohamad Jamudin dan Penolong Pengarah Eksekutif dan Ketua FinTech, Brunei Darussalam Central Bank, Haji Mohd Khairul Zaki Haji Mohidin.

    Panel perbincangan yang dikendalikan oleh moderator perbincangan iaitu Pensyarah Ekonomi di UBDSBE, Pengiran Dr Hajah Norulazidah binti Pengiran Haji Omar telah mengongsi pandangan dan pendapat mereka mengenai prospek sosioekonomi Brunei.

    Forum merupakan sebahagian daripada Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan ke-4 selama dua hari yang mengetengahkan sesi selari dengan sebanyak 28 kertas kerja dibentangkan dalam pelbagai tema.

    Penutup persidangan berkenaan menyaksikan penyampaian anugerah kertas persidangan terbaik dalam bidang perniagaan yang dimenangi oleh Awang Muhammad Abdus Salam bertajuk Factors Affecting Mobile Payment Acceptance in Generation Z, bidang ekonomi yang dimenangi oleh Awang Mohammad Hadi Hazwan bin Dato Paduka Haji Haini bertajuk Is Gender an Impediment to Innovation? Evidence from Malaysian SMEs, bidang kewangan dan perakaunan yang dimenangi oleh Rida Rosmawati bertajuk Disclosure of Financial Information on Higher Education Accredited Websites in Indonesia serta bidang keusahawanan yang dimenangi oleh Nabilah Jeffery bertajuk Exploring Unchartered Horizons: Unveiling New Challenges of Fashion Upcycling Enterprises and its Solution Across UK, US and Southeast Asia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...