Sesuaikan harga bufet sungkai

Alhamdulillah, melihat situasi negara kita yang berjaya mengawal penularan COVID-19 berbanding negara lain, kita bersyukur pelbagai aktiviti dan perhimpunan ramai kini dibenarkan dengan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Kini Ramadan kembali, pastinya seluruh umat Islam di negara ini merasa lega kerana dapat menunaikan ibadah puasa dengan selesa jika dibandingkan dengan tahun lalu.

Antaranya ialah berpeluang menunaikan ibadah Solat Sunat Tarawih berjemaah di masjid-masjid, surau dan ibadat di seluruh negara serta berbuka puasa bersama keluarga di restoran-restoran ataupun hotel yang kini dilihat begitu banyak menawarkan hidangan ala bufet.

Harga-harga dipamerkan ada yang berpatutan dengan jumlah makanan yang dihidangkan dan ada juga yang agak tinggi, namun tidak bersesuaian dengan jumlah hidangan yang ditampilkan.

Saya faham, disebabkan pandemik dan ketiadaan bufet semasa Ramadan tahun lalu, pihak restoran dan hotel mempertimbangkan harga hidangan bufet yang mungkin bagi mereka bersesuaian. Namun pelanggan merasa agak sedikit mahal kerana mereka sendiri pun berdepan situasi sama akibat penularan COVID-19.

Rata-rata restoran-restoran ataupun hotel kini menawarkan hidangan ala bufet dengan harga yang agak mahal. – Gambar hiasan

Mungkin ada baiknya pihak berkenaan mempertimbangkan diskaun bagi harga yang agak tinggi terutama bagi mereka yang datang beramai-ramai bersama keluarga atau rakan-rakan agar mereka dapat merasai hidangan yang diketengahkan.

Saya puji jalinan kerjasama bank-bank dan restoran yang memberikan diskaun bagi sebahagian restoran dan hotel-hotel. Ia membuatkan bufet Ramadan terasa berbaloi dan tidak terlalu membazir.

Namun bagi harga bufet yang masih tinggi, mungkin sedikit pemantauan diperlukan untuk memastikan harga maksimum, atau boleh sahaja tawarkan semula dengan beberapa faedah seperti sedikit diskaun bagi bufet keluarga, bufet rakan sekerja atau bufet pasangan yang berpatutan agar dapat juga merasa makan bufet di luar sesekali, apa lagi bulan Ramadan adalah bulan memberi.

Pelanggan sungkai