Sesuaikan pendidikan dengan kemahiran baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Pandemik yang melanda dunia bermula awal 2020, mengganggu rantaian bekalan global, pergerakan buruh, perniagaan dan industri sehingga negara-negara perlu menyusun semula strategi dan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat termasuk berkaitan landskap pekerjaan yang memerlukan pembelajaran kemahiran baharu (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) berskala besar kepada tenaga kerja sedia ada dan baharu.

Sehubungan itu adalah sangat penting landskap pembelajaran mengubah cara-cara yang mampu memenuhi kemahiran ini dan melahirkan para pelajar sepanjang hayat yang dapat menyesuaikan diri dan berdaya tahan ketika negara-negara, termasuk Brunei bergerak ke masa depan yang menarik.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika berucap pada Majlis Tamat Pengajian Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) Kelas 2020 dan 2021 di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun di Gadong hari ini.

“Untuk itu, saya menggesa institusi pendidikan tinggi awam dan swasta untuk mengintegrasikan pendekatan pembelajaran sepanjang hayat ke dalam misi teras mereka, di samping meneroka cara untuk memupuk pemikiran dan sikap pembelajaran sepanjang hayat kepada pelajar, kerana ini adalah kemahiran penting yang sangat dicari oleh majikan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sebelum pandemik COVID-19 lagi, perubahan teknologi seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi telah menjejaskan pekerjaan dan kemahiran yang perlu dilakukan oleh pekerja.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar Kolej Perdagangan Laksamana yang berjaya menamatkan pengajian.

Beliau turut mengongsikan dapatan dalam Kajian Global McKinsey baru-baru ini mengenai 87 peratus eksekutif mengatakan bahawa mereka mengalami jurang kemahiran dalam tenaga kerja atau mereka akan menjangkakannya dalam beberapa tahun yang juga berlaku di negara ini.

“Laporan Tinjauan Kepuasan Majikan 2020 yang dilakukan oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan mendedahkan bahawa salah satu kemahiran teratas yang dipandang penting oleh majikan tempatan adalah kemahiran menyesuaikan diri, yang diberi peringkat lebih tinggi daripada kemahiran dan pengetahuan teknikal,” kongsi beliau.

Menurut Yang Berhormat Menteri Pendidikan, perubahan kemahiran disebabkan teknologi dan dipercepat oleh pandemik telah memaksa industri dan perniagaan tempatan kita untuk mencari berbagai-bagai cara bagi menambah dan meningkatkan tenaga kerja mereka.

“Melihat adanya keperluan untuk menyokong hal ini, Kementerian Pendidikan melalui Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C) berhasrat untuk mempercepat dan memperkuat pengembangan sumber tenaga manusia negara ini melalui penyediaan peluang pembelajaran seumur hidup,” kata Yang Berhormat Dato.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato menyeru dan menjemput institusi-institusi, penyedia-penyedia latihan dan industri-industri untuk bekerja dengan L3C bagi menyediakan program peningkatan kemahiran dan pembelajaran kemahiran baharu selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

“Kementerian Pendidikan sentiasa menekankan mengenai pentingnya penyedia pendidikan tinggi swasta terhadap keseluruhan sistem pendidikan. Oleh itu, kementerian (pendidikan) menghargai sumbangan LCB terhadap pembangunan sektor pendidikan tinggi swasta sejak penubuhannya pada tahun 2013,” tambahnya.

Menurutnya, LCB telah berkembang pesat dalam memperluas dan meningkatkan kemudahannya serta menawarkan program mulai dari sijil hingga ijazah dan baru-baru ini program sarjana yang dilancarkan awal tahun ini.

Di hujung ucapannya, Yang Berhormat Dato mengharapkan lebih banyak kejayaan LCB di masa terdekat, bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga pada peringkat serantau dan antarabangsa, sebagai penyedia pendidikan swasta di negara ini.