Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Gara-gara terdesak untuk mendapatkan wang, seorang anggota beruniform yang bertindak merompak dan mencederakan nenek sendiri dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.
Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menjatuhkan hukuman selepas APO Awang Musa bin Haji Awang Shapawi, 23, mengaku bersalah merompak rantai dan gelang tangan milik neneknya yang berusia 74 tahun dan juga menyebabkan kecederaan kepada neneknya dengan menutup mulutnya menggunakan lengan jaket dan bantal.
Kesalahan dilakukan dalam rumah di Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba pada 4 Oktober 2016.
Terdahulu, Peguam Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman yang mewakili tertuduh dalam hujahan yang dibentangkan mengatakan anak guamnya bertindak melakukan kesalahan itu kerana menanggung banyak hutang dan gaji yang diterimanya tidak mencukupi.
Tertuduh yang masih bujang perlu menyara ibu dan adik-beradiknya yang lain, hujah Peguam Rozaiman sambil menambah apa yang dilakukan anak guamnya itu bukan dirancang tetapi terdesak.
Pihak pendakwaan dalam hujahan bantahannya pula mengatakan bahawa tertuduh merupakan seorang anggota polis yang tugasnya menegakkan undang-undang dan sepatutnya lebih tahu yang tindakannya itu adalah salah.
Hakim Pengiran Masni selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak berkata, mahkamah tidak akan memandang ringan kesalahan tertuduh dan alasan ‘terdesak’ yang dikemukakan oleh Peguam Haji Mohd Rozaiman akan diambil kira sebagai faktor yang memburukkan.
Hakim turut menyifatkan perbuatan tertuduh itu dirancang kerana dia bertindak memakai jaket berhud supaya tidak dikenali.
Gaji tidak mencukupi juga bukan satu alasan untuk melakukan kesalahan malah apa yang dilakukan tertuduh dikutuk oleh mahkamah, tegas Hakim yang memutuskan kes seperti ini perlu diberi hukuman penjara untuk melindungi kepentingan awam.
Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh pergi ke rumah neneknya untuk mencari saudaranya namun tidak bertemu.
Sebelum keluar dari rumah itu, tertuduh memberitahu neneknya yang dia tidak menjumpai saudaranya di tingkat atas.
Tertuduh bagaimanapun kembali semula ke rumah itu dengan memakai jaket berhud dan terus menutup mulut neneknya menggunakan lengan jaket dan bantal.
Tertuduh terus menarik rantai dan gelang tangan yang dipakai neneknya di mana perbuatannya itu menyebabkan neneknya mengalami kesakitan badan.
Tertuduh melarikan diri ke rumahnya dan menyembunyikan barang kemas itu di dalam bilik kakaknya dan membuang jaket berhud yang dipakainya.
Pada hari yang sama, saudaranya telah menghubungi tertuduh untuk meminta bantuan membuat laporan polis berhubung dengan rompakan yang berlaku ke atas nenek mereka.
Tertuduh pada mulanya hanya mendiamkan diri dan akhirnya menghubungi talian 993 setelah didesak oleh saudaranya.
Polis yang menjalankan siasatan pada hari yang sama mendapati perompak itu mempunyai bentuk fizikal yang sama dengan tertuduh.
Siasatan seterusnya mendapati tertuduh adalah perompak tersebut dan polis menemui semula barang kemas yang disimpan oleh tertuduh.