Setem kenang-kenangan Sidang Kemuncak ASEAN 2021

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Orang ramai terutama penggemar koleksi setem akan berpeluang menambah koleksi mereka dengan mendapatkan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem Kenang-kenangan Sidang Kemuncak ASEAN 2021 bermula esok (26 Oktober).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, keluaran Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem Kenang-Kenangan Sidang Kemuncak ASEAN 2021 oleh Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) itu adalah sebagai memperingati Negara Brunei Darussalam menjadi pengerusi ASEAN 2021.

Ini merupakan kali kelima Negara Brunei Darussalam berperanan sebagai pengerusi ASEAN, selepas 1989, 1995, 2001 dan 2013.

Tema Sidang Kemuncak ASEAN 2021 ialah We Care, We Prepare, We Prosper yang menggambarkan komitmen kolektif ASEAN untuk memeduli rakyat dan bersedia untuk masa hadapan, dengan matlamat bagi memastikan bahawa seluruh komuniti ASEAN akan terus makmur.

Kenyataan menyatakan, JPP akan mengeluarkan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama, tiga keping setem dan Lembaran Mini Khas.

Produk-produk setem yang akan dijual adalah Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Bersetem, Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Tanpa Setem, Lembaran Mini Khas (Miniature Sheet), Setem Set 3 keping dan Lembaran Setem.

Orang ramai yang berhasrat untuk mendapatkan setem kenang-kenangan berkenan perlu membuat tempahan dan menghubungi cawangan-cawangan pejabat pos yang berkenaan atau melalui tempahan secara dalam talian.

Setem-setem yang telah ditempah akan dapat diambil di cawangan-cawangan pejabat pos seperti di Galeri Setem, Pejabat Besar Pos, Bandar Seri Begawan, Pejabat Pos Gadong, Pejabat Pos Seri Kompleks, Pejabat Pos Muara dan Pejabat Pos Sengkurong.

Manakala di Daerah Belait dapat diambil di Pejabat Pos Lumut, Pejabat Pos Mumong, Kuala Belait dan Pejabat Pos Seria sementara Daerah Tutong di Pejabat Pos Tutong dan Temburong di Pejabat Pos Bangar.

Antara koleksi setem kenang-kenangan Sidang Kemuncak ASEAN 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos sempena memperingati Negara Brunei Darussalam menjadi pengerusi ASEAN 2021.- Gambar serahan JPP
Salah satu setem kenang-kenangan yang dikeluarkan JPP sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2021.