Setia Motors, Indera SC tandatangani MoU

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Setia Motors Sdn Bhd dan Kelab Sukan Indera (Indera SC) telah mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di Bilik Pameran Setia Motors di Beribi.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Setia Motors, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Mu’iz bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Pengurus Besar Setia Motors, James Chin.

Turut hadir bagi pihak Indera SC ialah Presiden Indera SC, Pengiran Anak Yassin bin Pengiran Anak Haji  Safiuddin; Pengurus Besar Indera SC, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz serta para pemain Indera SC.

Majlis penandatanganan itu adalah bagi tajaan berupa sebuah Hyundai Creta dan sebuah Hyundai Accent empat pintu. Kelab tersebut juga melahirkan penghargaan kepada syarikat Setia Motors Sdn Bhd dalam sama-sama memberi kemudahan pengangkutan bagi pemain-pemainnya dan memberi sokongan pembangunan kelab Indera SC.

“Sumbangan tajaan ini menjadi suntikan semangat kepada kelab dan pemain-pemain untuk melangkah ke hadapan dalam memajukan bidang bola sepak menjadi lebih baik,” jelas presiden Indera SC.

YAM Pengiran Anak Haji Abdul Mu’iz dan James Chin semasa majlis tersebut yang berlangsung di Bilik Pameran Setia Motors di Beribi.