Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Syarikat Setia Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal Hyundai di Negara Brunei Darussalam hari ini menjemput dan mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk menyaksikan keluaran SUV baharu generasi ke-4, Hyundai Santa Fe yang baru saja dilancarkan semalam.
Para pelanggan diberi peluang menyaksikan dengan lebih dekat model yang menjadi tarikan ramai itu dengan penerangan yang lebih terperinci mengenai teknologi dan ciri keselamatan yang terdapat di dalam model itu oleh ahli-ahli kakitangan jualan Hyundai Setia Motors Sdn Bhd sambil menikmati hidangan jamuan yang disediakan.
Menurut penjelasan Pengurus Jualan Hyundai, Fadhillah Sulaiman, generasi terbaharu Santa Fe dikenali sebagai sebuah model SUV berkuasa tinggi, kini dengan penampilan yang lebih menarik dan dilengkapi dengan teknologi terkini dan ruang yang lebih besar sesuai bagi kegunaan seisi keluarga. Berlainan daripada model sebelum ini, Santa Fe terbaharu ini mampu menyediakan kapasiti seramai tujuh penumpang.
Reka bentuk Santa Fe mempunyai bentuk badan elegan dan penampilan moden dengan lampu utama berkembar dan gril terbaharu. SUV tujuh tempat duduk ini sarat dengan lampu-lampu LED dan reka bentuk yang jauh lebih garang.
Apa yang lebih menarik, model baharu ini memiliki ukuran panjang yang mencapai 4,770mm, lebar 1,890mm dengan wheelbase yang lebih panjang.

“Teknologi baharu Santa Fe dilengkapi dengan brek letak kereta elektrik, skrin LCD TFT Cluster, skrin LCD sentuh 7″, pengecas telefon tanpa wayar, Surround View Monitor 360 (SVM), penyelaras tempat duduk secara elektronik, rim aloi berukuran 19″, kesemua ini terdapat dalam model spesifikasi tinggi,” tambahnya lagi.
Dari segi keselamatan, Santa Fe baharu ini dilengkapi dengan enam beg udara dan mempunyai rangka besi yang kuat melalui Advanced High Strength Steel (AHSS).
Manakala enjin model tersebut dimuatkan dengan dua jenis pilihan 2.4 MPI Petrol 4-Silinder DOHC atau 2.2 CRDi 4-Silinder Diesel dengan transmisi automatik 8-kelajuan.
Orang ramai juga dialu-alukan untuk berkunjung ke Bilik Pameran Hyundai, Setia Motors Sdn Bhd semasa waktu pejabat bagi menyaksikan keluaran Hyundai Santa Fe generasi ke-4 yang mula dipasarkan di negara ini.