Setia Motors sumbang 800 botol cecair pensanitasi tangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, Setia Motors Sdn Bhd menghulurkan sumbangan berupa 800 botol cecair pensanitasi tangan persendirian kepada Sekolah Menengah Rimba (SMR), hari ini.

Sumbangan disampaikan pada majlis yang berlangsung di Bilik Persidangan SMR di mana hadir menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Pengurus Komersial Setia Motors Sdn Bhd, Haji Abdul Hamid bin Haji Yahya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengetua SMR, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof Al-Idrus, Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Abdul Halim bin Bujang, pegawai dari Setia Motors Sdn Bhd serta guru dan pelajar SMR.

Haji Malai Shah Eran dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada pihak Setia Motors Sdn Bhd atas sumbangan ikhlas berkenaan yang mana ia setentunya amat berguna dalam usaha untuk menangani pandemik COVID-19.

Beliau menyatakan bahawa dengan adanya sumbangan itu, ia akan diguna pakai oleh setiap warga sekolah bagi keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan warga sekolah berkenaan.

Sumbangan itu juga diharap menjadi sebagai satu sokongan kepada Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama memastikan dan melihat warga Brunei sihat serta terhindardaripada sebarang wabak khususnya COVID-19.

Majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan oleh Haji Abdul Hamid kepada Haji Malai Shah Eran.

Majlis turut menyaksikan Haji Abdul Hamid menyampaikan cecair pensanitasi tangan persendirian kepada setiap pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Haji Abdul Hamid menyerahkan sumbangan berupa 800 botol cecair pensanitasi tangan persendirian kepada Pengetua Sekolah Menengah Rimba. – Gambar oleh Muiz Matdani