JAKARTA, 28 OKT – Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, akan mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN pada Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN ke-28 (ALMM) dan ALMM Plus Tiga ke-13 di Singapura pada 30 hingga 31 Oktober.
Bertemakan Memperkukuh Ketahanan dan Mempromosikan Inovasi, mesyuarat itu akan menyaksikan Kao menyampaikan ucapan pembukaan serta memberikan kemas kini mengenai keputusan penting berkaitan buruh daripada Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.
Menurut kenyataan Sekretariat ASEAN, beliau juga akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Tenaga Manusia Singapura, Dr Tan See Leng; dan Setiausaha Buruh dan Pekerjaan Filipina, Bienvenido E. Laguesma.
Perhimpunan itu menandakan ulang tahun ke-50 ALMM, yang memainkan peranan penting dalam memupuk kerjasama tenaga kerja serantau sejak penubuhannya pada 1975, bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan daya saing tenaga kerja. – Bernama