Setiausaha Agung ASEAN terima pingat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Sumbangan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi dalam mengukuhkan hubungan dan meningkatkan kerjasama di antara ASEAN dan Republik Korea (ROK) dalam pelbagai bidang amat dihargai di mana beliau dipilih kerajaan Republik Korea untuk menerima Pingat Gwanghwa, Order of Diplomatic Service Merit.

Dalam kenyataan mengenai penganugerahan pingat yang dikeluarkan oleh Sekretariat ASEAN di laman sesawangnya, menyatakan penganugerahan Pingat Gwanghwa itu telah disempurnakan oleh Duta ROK ke ASEAN, Tuan Yang Terutama Kwon Hee-seog, bagi pihak Presiden Moon Jae-in kepada TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi dalam upacara penganugerahan yang berlangsung di Kedutaan ROK, kelmarin.

Kenyataan menyatakan bahawa pada upacara berkenaan, Dato Paduka Lim Jock Hoi merakamkan perasaan amat berbesar hati untuk menerima anugerah berkenaan dan menyatakan penghargaan kepada kerajaan ROK atas penganugerahan pingat itu.

Beliau turut memuji momentum kukuh dalam kerjasama strategik ASEAN-ROK serta menyatakan penghargaan kepada ROK atas komitmennya untuk mengukuhkan hubungan ASEAN-ROK dan sokongan berterusannya kepada usaha pembangunan komuniti ASEAN khususnya semasa pandemik COVID dan pemulihan pasca-pandemik.

Upacara berkenaan dihadiri oleh diplomat-diplomat dan pegawai-pegawai daripada Kedutaan ROK ke ASEAN dan Sekretariat ASEAN.

TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi dan TYT Kwon Hee-seog semasa menghadiri upacara penganugerahan pingat yang diadakan baru-baru ini. – Gambar serahan Sekretariat ASEAN
TYT Kwon Hee-seog menyempurnakan penganugerahan Pingat Gwanghwa Order of Diplomatic Service Merit, kepada TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi pada majlis penganugerahan yang diadakan kelmarin.