KAHERAH, 26 MEI – Setiausaha Negara AS, Antony Blinken tiba di Kaherah hari ini ketika beliau berusaha untuk menyokong gencatan senjata yang diumumkan oleh Mesir antara Israel dan Palestin di Gaza.
Diplomat tertinggi AS sudah bertemu dengan pemimpin Israel dan Palestin untuk memberikan sokongan Washington bagi gencatan senjata Jumaat lalu yang mengakhiri 11 hari pengeboman Israel di Gaza.
Setelah berbincang dengan presiden Palestin Mahmud Abbas di ibu pejabatnya di Tebing Barat yang dijajah Israel, Blinken berjanji untuk membina semula hubungan AS dengan Palestin dengan membuka semula konsulat di Baitulmaqdis dan juga memberikan berjuta-juta bantuan untuk Semenanjung Gaza yang dilanda perang.
Pengumuman itu menandakan berlaku perubahan polisi AS di bawah mantan presiden Donald Trump, yang telah menutup misi diplomatik untuk Palestin pada tahun 2019 dan memotong bantuan kepada Pihak Berkuasa Palestin.
Dalam jangka panjang, Blinken membangkitkan “kemungkinan untuk meneruskan usaha untuk mencapai penyelesaian dua negara, untuk memberi penduduk Palestin hak negara mereka.”
Di Kaherah, Blinken akan menemui Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi sebelum terbang ke Jordan untuk mengadakan perbincangan dengan Raja Abdullah II. – AFP
