Setiausaha Luar UK mulakan lawatan ke Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 7 NOV – Setiausaha Luar United Kingdom (UK) Liz Truss tiba di Malaysia pada Ahad untuk memulakan lawatan seminggu ke Asia Tenggara bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan keselamatan dengan negara yang diramal berkembang pesat dan menjadi semakin penting.

Selain Malaysia, Truss juga dijadual melawat Thailand dan Indonesia.

Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan Setiausaha Luar percaya hubungan UK dengan negara utama di Asia Tenggara kurang memberansangkan dan usaha mempererat hubungan mampu membuka lebih banyak peluang dan pekerjaan kepada UK sambil meningkatkan keselamatan dan kemakmuran di rantau ini.

Lawatan Liz Truss juga bertujuan membina hubungan lebih akrab dalam pelaburan prasarana di rantau ini serta meningkatkan usaha menerusi Inisiatif Hijau Bersih menerusi pelaburan dalam infrastruktur mampan, serta berdaya tahan bersama rakan dan rakan kongsi.

“Saya mahu menempatkan Britain di mana pertumbuhan masa depan berlangsung dan memikirkan siapa yang bakal menjadi rakan kongsi utama kami pada 2050 dan seterusnya.

“Asia Tenggara akan menjadi enjin untuk ekonomi global dan saya mahu Britain menjadi sebahagian daripadanya, meningkatkan ekonomi kami serta hubungan keselamatan dengan rantau ini akan mencerminkan kedudukannya yang semakin penting,” menurut kenyataan itu yang memetik Truss.

Ini adalah lawatan pertama Truss ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara sejak dilantik menjadi Setiausaha Luar pada September 2021.

Ia juga menjadi lawatan pertama Setiausaha Negara ke rantau ini sejak UK secara rasmi menjadi Rakan Dialog ASEAN pada Ogos tahun ini.

“ASEAN adalah pasaran yang mempunyai 650 juta orang, diramal menjadi pasaran tunggal keempat terbesar menjelang 2030 dan dagangan antara UK dan ASEAN ketika ini bernilai hampir 34 bilion pound pada 2020.” – Bernama