KABUL, 23 MAC – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo tiba di ibu negara Afghan hari ini di tengah krisis politik berterusan, pemberontakan Taliban dan peningkatan kes koronavirus, kesemuanya mengancam proses perdamaian yang telah pun menemui kebuntuan.
Pompeo dijangka bertemu dengan Presiden Afghan Ashraf Ghani bersama pencabarnya Abdullah Abdullah, yang juga menuntut jawatan presiden, ekoran pilihan raya pada tahun lalu. Menurut laporan daripada wartawan yang mengiringi Pompeo, diplomat tertinggi AS itu dialu-alu oleh duta khas Zalmay Khalilzad – perunding utama AS dalam rundingan terbaharu denganTaliban – selepas tiba di lapangan terbang Kabul.
Lawatan diadakan sehari selepas kerajaan Afghan dan Taliban mengadakan perbincangan pertama mereka mengenai pertukaran tahanan – langkah utama dalam usaha lebih luas untuk perdamaian ekoran perjanjian penarikan diri yang ditandatangani oleh Washington dan militan pada bulan lalu.
Perjanjian itu menetapkan satu rangka kerja untuk menamatkan perang paling lama Amerika selepas serangan ke atas Afghanistan pada 2001.
Khalilzad menulis di Twitter semalam bahawa adalah ‘pen-ting’ untuk memuktamadkan pelan pertukaran banduan – seperti yang ditetapkan dalam perjanjian AS dengan Taliban – dengan pandemik koronavirus merumitkan kontak diplomatik.
Perjanjian itu meminta pembebasan sehingga 5,000 pejuang Taliban yang ditahan oleh Kabul, dan sehingga 1,000 anggota kerajaan Afghan di tangan pemberontak.
Ia bertujuan diadakan sebelum bermulanya rundingan perdamaian yang pada asalnya ditetapkan pada 10 Mac di antara kerajaan dan Taliban.
Selepas enggan membebaskan tahanan Taliban, Ghani mengumumkan pihak berkuasa akan membebaskan 1,500 pemberontak sebagai ‘tanda muhibah’ dengan rancangan membebaskan 3,500 tahanan lagi selepas rundingan bermula.
Bagaimanapun, Taliban menolak tawaran itu. – AFP
