Setien tidak lagi diperlukan

MADRID, 18 OGOS – Barcelona telah membuat keputusan untuk memecat Quique Setien sebagai ketua jurulatih, kelab tersebut mengesahkan kelmarin, dengan Ronald Koeman menjadi calon utama untuk menggantikannya.

“Jurulatih baharu akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula secara besar-besaran bagi pasukan utama,” Barca mengumumkan menerusi Twitter.

Setien yang baru dilantik pada bulan Januari lalu tetapi menerima padah selepas terlepas gelaran La Liga kepada Real Madrid dan dimalukan oleh Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara.

Keputusan pemecatannya telah dibuat semasa mesyuarat tergempar di Camp Nou, yang berlangsung selama enam jam dan Koeman menjadi calon yang disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk mengambil alih jawatan itu.

Kelab tersebut turut mengumumkan bahawa pemilihan presiden tahun depan yang dijadualkan pada bulan Jun akan diawalkan pada 15 Mac.

Quique Setien dipecat selepas terlepas kejuaraan La Liga di tangan Real Madrid dan keputusan di Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich. – AFP

Penyokong-penyokong yang berang berharap ia akan diadakan dengan segera tetapi disebabkan oleh beberapa masalah maka ia tidak dapat dilakukan, ini bermakna presiden yang sedang menerima tekanan, Josep Maria Bartomeu akan kekal menjadi presiden.

“Selepas menganalisis semua pilihan, pihak lembaga telah membuat keputusan bahawa (15 Mac) tarikh tersebut adalah sesuai untuk mengadakan pemilihan,” menurut kenyataan.

“Pihak lembaga mengambil maklum bahawa pemilihan tidak diadakan dengan segara memandangkan liga akan bermula pada hujung minggu 12 September dan disebabkan oleh rangka ekonomi dan sosial yang berpunca dari krisis COVID-19.”

Pengganti Setien akan masih berdepan dengan tekanan untuk menghasilkan kejayaan dengan lembaga yang baru dilantik tahun depan masih boleh melantik jurulatih baharu, dengan Xavi Hernandez telah mengaitkan dirinya dengan pesaing calon presiden, Victor Font.

Koeman masih mengambil alih tugasan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Belanda sejak 2018 dan akan membawa mereka ke Kejohanan Eropah yang tertunda tahun depan dan Piala Dunia pada 2022. – AFP