Setinggi-tinggi penghargaan kepada jururawat dan bidan di seluruh dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Sempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para profesional jururawat dan bidan di Negara Brunei Darussalam yang telah banyak memberikan khidmat penjagaan dan perlindungan kesihatan kepada setiap lapisan masyarakat.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan melahirkan penghargaan itu sempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia baru-baru ini yang membawa tema ‘Beri Sokongan kepada Para Jururawat dan Bidan.

“Terutama pada masa ini ketika negara kita dilanda musibah wabak COVID-19 yang mana para jururawat dan bidan adalah merupakan di antara barisan hadapan (frontliners) yang banyak mengorbankan masa dan tenaga serta rela berhadapan dengan risiko dan bahaya demi menjaga dan merawat pesakit-pesakit,” jelasnya pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini, di Dewan Al-Afiah, di Kementerian Kesihatan.

“Namun begitu, para jururawat sentiasa memberikan komitmen yang tinggi termasuklah dalam memberikan rawatan dan penjagaan pesakit yang berkualiti tinggi,” katanya lagi.

Tidak dapat dinafikan lagi, menurutnya bahawa profesion kejururawatan dan kebidanan adalah satu profesion yang terpuji.

Oleh yang demikian, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berharap agar lebih ramai belia akan dapat mencontohi dan memilih serta menceburi bidang kejururawatan dan perbidanan yang mulia itu.

“Marilah kita bersama-sama memberikan sokongan kepada para jururawat dan bidan, dan terus mendoakan semoga Allah SWT membalas budi baik serta sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada para profesional jururawat dan bidan di Negara Brunei Darussalam,” jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Kesihatan Sedunia. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan Haji Abdul Manap bin Othman.