BIASANYA, banyak tip hanya menjurus kepada bagaimana untuk kuruskan badan sahaja. Banyak tip kuruskan badan secara semula jadi yang kita baca, namun semuanya kita abaikan. Jarang kita lihat ada yang memberi tip untuk kuruskan paha, lengan dan pipi. Tentu anda terfikir, kenapa spesifik kepada paha, lengan dan pipi? Bukan mudah untuk kekal cantik dan langsing.
Ini kerana anggota inilah yang menjadi kegusaran pada kaum wanita. Sekarang, cuba pegang lengan anda. Besar tak? Sekarang, pandang bawah. Lihat paha anda pula, rasa besar tak? Jika sudah, belek cermin pula, ada nampak dagu berlapis (double chin) atau tidak? Kebiasaannya, bila dagu berlapis, pipi mesti tembam juga.
Lelaki vs perempuan
Kalau lelaki, beratnya lebih terarah pada bahagian perut. Sebaliknya, lemak perempuan akan terkumpul di bahagian paha dan lengan. Anda tahu paha anda besar jika seluar ‘jeans’ yang dipakai tampak haus di bahagian kelengkang. Ini kerana bahagian paha bergesel sesama sendiri. Oleh itu mari ikuti tip kuruskan badan secara semula jadi ini:
1. Setkan minda untuk kurus
Selepas anda buat keputusan untuk kurus, lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Kalau hari ini kata nak kurus, hari ini juga lakukannya. Bukannya esok, lusa atau minggu depan. Biasanya, selepas bulan Ramadan, “Ahh, mana boleh tak makan lauk raya. Lepas raya lah aku diet”. Nampaknya, jika anda salah seorang yang berfikiran sebegini, tidak akan kurus sampai bila-bila. Lebih baik, letak matlamat untuk kekal sihat.
2. Pelajari ilmu tentang kalori
Tahukah anda, kalori lebih banyak terbakar semasa anda tidur? Sebenarnya, nak kurus mudah sahaja. Ambil kalori yang diperlukan sahaja untuk setiap hari. Jika anda perlukan 1300 kcal sehari, jangan makan 2500 kcal untuk hari itu.
Kalau kurang daripada 1000 kcal, anda akan jadi lapar dan tidak bertenaga. Cuba ambil dalam julat 1000-1300 kcal. Ini sekadar contoh, setiap orang lain keperluan kalorinya.
3. Makan dalam kuantiti yang kecil
Maknanya, makan sikit-sikit tetapi banyak kali. Bukannya makan sekali hadap. Simpan biskut dalam tas tangan jika perlu. Pastikan ia mempunyai kandungan fiber yang tinggi.
4. Elakkan makan waktu malam
Pernah tengok bila waktu keluarga Cina makan malam? Biasanya, kalau selalu ke pusat membeli belah, mereka akan penuhi tempat makan seawal jam 6:30 petang. Sebenarnya, ini ialah waktu yang cukup ideal. Seeloknya, makan sebelum atau selepas waktu Maghrib. Ini kerana badan kita memerlukan empat jam untuk menghadamkan makanan. Bayangkan makan pukul 10 malam, anda kena berjaga sehingga pukul 2 pagi. Kalau terus tidur pukul 12 malam, alamatnya jadi lemak.
5. Elakkan makanan dan minuman bergula
Ini bukan untuk orang tua yang ada kencing manis atau ‘diabetes‘ sahaja. Ia penting untuk semua peringkat umur. Jauhkanlah minuman bersoda. Minum air masak itu lebih baik. Air masak tak sedap? Cubalah minum air bergula, nescaya tidak akan kurus sampai bila-bila. Tabiat ini semestinya dibuang.
6. Tukar kepada makanan yang rendah lemak
Kalau pergi kedai atau pasaraya, pernah tengok apa kandungan makanan tersebut pada bungkusan? Kalau anda seorang yang teliti, anda akan menyedari berapa banyak kalori atau lemak. Berbalik pada ilmu, pelajari tentang pengambilan kalori. Sama juga dengan pengambilan lemak. Tentu selepas ini anda akan lebih berjaga-jaga. Biasa makan nasi penuh atau nasi separuh?
7. Banyak makan buah
Negara kita sungguh bertuah kerana berada di iklim Khatulistiwa. Terlalu banyak buah-buahan yang berkhasiat. Buah-buah tropikal ini sangat mahal di negara asing. Hargai khazanah negara kita. Cara kuruskan badan yang efektif ialah dengan makan buah-buahan tempatan. Bukan epal atau beri biru sahaja, buah-buahan seperti pisang terlalu banyak khasiat. Selain nutrien, buah-buahan membekalkan vitamin dan anti-oksidan untuk badan kita agar kekal sihat.
8. Selalu minum air masak (bukan air bergula)
Malu nak bawa botol air besar ke pejabat? Takut orang ejek? Kalau malu, sampai bila tidak akan kurus. Ini kerana badan memerlukan banyak air. Air ialah sumber semula jadi yang penting untuk kurus. Setidak-tidaknya, minum lapan gelas air sehari.
Toksin dalam badan menyebabkan lemak sukar dibuang. Jadi untuk membuang toksin keluar melalui air kencing, minum sahaja air masak. Mudah dan murah cara kuruskan badan dengan minum air bukan?
9. Amalkan berjalan (dan berjoging)
Tidak pergi gim pun tidak mengapa. Yang penting kena selalu bergerak. Kalau selalu berjoging, bagus juga. Sesekali, kalau asyik naik lif sahaja, apa salahnya naik tangga? Lebih menyihatkan badan, peluh pun keluar.
Sebaik-baiknya, buat senaman 30 hingga 40 minit. Ia dapat membantu memperbaiki peredaran darah, buang lemak dan menaikkan stamina. Kalau sebelum ini asyik tercungap-cungap, mulakan dengan senaman ringan. Nescaya, badan akan jadi lebih ringan.
Bila tiba hujung minggu, ajak satu keluarga bersama-sama berjoging di taman tasik terdekat. Keluarga lebih akrab, peluh pun keluar!
10. Beri 100 peratus komitmen pada tujuan asal ‘nak kurus’
Ingat lagi tip pertama, iaitu set minda? Tidak guna selepas set minda untuk kurus, anda abaikan sahaja kerana rasa malas. Pokoknya, kena konsisten atau ‘istiqamah‘ melakukan sesuatu untuk kebaikan sendiri.
Memandangkan ini cara kuruskan badan yang terakhir, harus diingat bahawa tidak guna kalau bersenam seminggu, selepas itu kembali malas dan duduk sahaja selama sebulan. Tidak guna diet seminggu, selepas itu melantak coklat hingga empat bar. Tepuk dada, tanya nafsu. – Agensi