Setuju gencat senjata di Yaman

RIMBO, Sweden, 14 Dis – Pihak-pihak yang bertelagah di Yaman semalam bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata ke atas pelabuhan utama negara itu, dalam satu siri kejayaan rundingan damai yang ditaja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menandakan kejayaan terbesar selepas konflik terburuk selama empat tahun.

Sekiranya dilaksanakan, perjanjian ke atas pelabuhan Hodeida iaitu sebuah pintu masuk utama bagi menyalurkan bantuan dan makanan import akan digunakan untuk meringankan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh 14 juta penduduk yang kebuluran di negara itu.

Dalam satu langkah simbolik pada rundingan kali ketujuh dan hari terakhir rundingan damai di Sweden, Menteri Luar Yaman Khaled al-Yamani dan perunding pemberontak Mohammed Abdelsalam bersalaman, sekalipun menyuarakan keraguan mereka selepas itu.

Kedua-dua pemimpin itu memberikan kenyataan yang bercanggah terhadap perjanjian Hodeida sejurus selepas pengumuman dibuat oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Rundingan selama seminggu itu turut menyebabkan beberapa isu utama tidak dapat diselesaikan.

Pusingan baharu bagi rundingan seterusnya dijadualkan pada hujung bulan depan, di mana para penganalisis menjangkakan Amerika Syarikat akan terus meningkatkan tekanannya ke atas sekutunya, Arab Saudi, penyokong utama kerajaan Yaman, untuk mengakhiri konflik berkenaan.

Negara termiskin Yaman telah berdepan kemelut peperangan antara pemberontak Houthi yang disokong Iran dan tentera yang setia kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi sejak 2014.

Namun peperangan itu semakin bertambah pada 2015 apabila kerajaan pakatan yang dipimpin Saudi menyebelahi kerajaan presiden Yaman.

Di bawah perjanjian Hodeida, ‘gencatan senjata’ serta merta perli dimulakan di Hodeida termasuklah tiga buah pelabuhannya sejurus penandatangan dibuat. – AFP

Khaled al-Yamani (kiri) bersalaman dengan Mohammed Abdelsalam sambil disaksikan oleh Antonio Guterres semasa rundingan damai diadakan di Rimbo, Sweden, kelmarin. – AFP