Setuju kurang pengeluaran 9.7 juta tong sehari

VIENNA, 13 APRIL – Negara-negara pengeluar minyak teratas bersetuju dengan pengurangan pengeluaran ‘bersejarah’ untuk merangsang harga minyak yang dihambat oleh krisis koronavirus dan perang harga antara Rusia dan Saudi, mengakibatkan harga minyak mentah meningkat hari ini.

Tanda aras utama Amerika Syarikat WTI naik 7.7 peratus kepada AS$24.52 setong pada awal perdagangan Asia sementara tanda aras minyak mentah Brent meningkat 5 peratus pada harga AS$33.08.

Pengeluar-pengeluar minyak OPEC yang didominasi oleh Arab Saudi dan sekutu-sekutunya diketuai oleh Rusia membincangkan perjanjian sepakat menerusi sidang video kelmarin selepas Mexico menunjukkan keengganan pada awal perjanjian itu dimeterai, Jumaat lalu.

Dalam kata sepakat yang dicapai kelmarin, mereka bersetuju untuk mengurangkan 9.7 juta tong sehari bermula Mei, menurut Menteri Tenaga Mexico, Rocio Nahle, turun sedikit dari 10 juta tong sehari yang dijangkakan sebelumnya.

Setiausaha agung OPEC, Mohammad Barkindo menggelar pengurangan itu ‘satu sejarah’.

“Ia melibatkan jumlah isi padu yang besar dan paling lama dalam tempohnya, dengan mereka merancang untuk mengakhirinya dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Persetujuan antara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berpangkalan di Vienna dan rakan-rakan menyaksikan pengurangan pengeluaran pada Mei dan Jun disusuli dengan pengurangan berperingkat sehingga April 2022. – AFP

Seorang lelaki memakai topeng pelindung melintas papan kenyataan saham elektronik yang menunjukkan indeks Nikkei 225 Jepun di firma sekuriti di Tokyo pada 13 April. Tanda aras utama AS WTI naik 7.7 peratus sementara Brent meningkat 5 peratus berikutan pengeluar-pengeluar minyak bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran. – AP